'Kami bukan pemilik bisnes', pekerja 'makan gaji' terkejut terima notis bayaran cukai CP500


  • Bisnes
  • Rabu, 31 Dis 2025

Pembayar cukai perlu mendapatkan penjelasan terus daripada LHDN jika terdapat sebarang keraguan terhadap potongan cukai. — Gambar hiasan/ The Star

KETIKA rakyat Malaysia bersiap sedia menyambut tahun 2026, urusan memfailkan cukai pendapatan sekali lagi menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, beberapa pekerja makan gaji yang hanya menerima pendapatan bulanan dan sudah mempunyai potongan cukai berjadual (PCB) setiap bulan, terkejut apabila menerima notis CP500 daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut bayaran ansuran cukai anggaran bagi tahun 2026.

CP500 merupakan skim bayaran ansuran cukai untuk individu yang mempunyai pendapatan selain daripada pekerjaan, seperti pendapatan perniagaan, sewaan dan royalti.

BACA LAGI: Tidak perlu jadi paling murah, strategi jualan 'harga runtuh' boleh bunuh perniagaan

BACA LAGI: Ditutup kerana kotor, gerai pecal lele 'lejen' kini berwajah baharu tapi isu kebersihan jadi fokus pelanggan

Pekerja makan gaji yang sudah mempunyai potongan PCB dan layak menerima bayaran balik cukai tidak perlu membuat bayaran tambahan di bawah CP500. — Gambar hiasan/ The Star

Potongan di bawah CP500 pada awal tahun dianggap sebagai bayaran pendahuluan kepada bil cukai akhir yang akan dikeluarkan oleh LHDN pada hujung tahun.

Kebiasaannya, pembayar cukai di bawah skim ini perlu membuat sehingga enam bayaran ansuran secara dwibulanan bermula bulan Mac setiap tahun.

Namun, seorang pekerja farmaseutikal berusia 28 tahun dari Shah Alam yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, dia keliru dengan notis tersebut kerana tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan lain selain gaji.

“Saya sudah ada potongan PCB setiap bulan. Saya tidak faham kenapa saya dikeluarkan CP500 dan diminta bayar ansuran.

“Apa yang saya peroleh pun cukup-cukup makan. Saya tak faham bagaimana mereka mengesan kononnya ada pendapatan sampingan,” katanya.

Lee berkata, selepas bertanya kepada rakan-rakannya, dia dimaklumkan notis itu mungkin berpunca daripada kesilapan dalam pengelasan atau pelaporan bonus dalam fail cukainya.

“Saya rasa lebih baik saya pergi sendiri ke pejabat LHDN dalam masa terdekat,” katanya.

Kebimbangan sama turut disuarakan oleh orang ramai susulan satu hantaran Facebook oleh firma akauntan bertauliah Syafiq Suhaimi & Co yang membincangkan mengenai notis tersebut.

Seorang pengguna, Ctz Rahim, berkata dia tidak tahu bagaimana untuk bertindak.

“Saya hanya bekerja makan gaji, tapi terima CP500 untuk 2026. Bagaimana nak maklumkan LHDN yang saya tak ada perniagaan?” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Hafiz G. Hassan, berkata dia juga menerima notis CP500 walaupun hanya memperoleh gaji bulanan dan memfailkan cukai setiap tahun.

Menjawab pertanyaan, firma tersebut menasihatkan pembayar cukai terlibat supaya menghantar borang CP500 yang disemak semula kepada LHDN atau mengunjungi pejabat LHDN terdekat untuk memohon pembatalan.

“Pastikan ada bukti penghantaran atau bukti lawatan ke LHDN supaya lebih mudah dirujuk kemudian jika isu ini tidak diselesaikan,” kata firma itu.

Pakar percukaian, Datin Christine Koh berkata, pekerja makan gaji yang sudah mempunyai potongan PCB dan layak menerima bayaran balik cukai tidak perlu membuat bayaran tambahan di bawah CP500.

“Bagi individu yang hanya mempunyai pendapatan pekerjaan dan potongan PCB, amaun ansuran boleh disemak semula kepada sifar.

“Namun, pembayar cukai masih perlu menulis kepada LHDN dengan penjelasan yang jelas serta dokumen sokongan jika ada,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa kegagalan memberi maklum balas boleh menyebabkan penalti 10 peratus dikenakan atas kegagalan membuat bayaran.

Peguam cukai, S. Saravana Kumar daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership, berkata CP500 lazimnya dikeluarkan kepada pemilik perniagaan, individu bekerja sendiri dan pempengaruh yang tidak mempunyai majikan untuk membuat potongan PCB bagi pihak mereka.

“Jika anda percaya amaun anggaran itu tidak tepat atau anda tiada pendapatan tambahan, undang-undang membenarkan anda menulis kepada LHDN untuk meminda atau membatalkannya. Anda perlu memaklumkan perkara tersebut,” katanya.

Mengenai punca sesetengah pekerja makan gaji menerima notis CP500 walaupun tiada pendapatan sampingan, Saravana Kumar berkata, pembayar cukai perlu mendapatkan penjelasan terus daripada LHDN.

“Walaupun ia kelihatan pelik, langkah terbaik adalah mendapatkan pengesahan dan penjelasan,” katanya. — The Star/ FAZLEENA AZIZ

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram