YAYASAN Basmi Kemiskinan (YBK) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Penasihat Pentadbiran YBK, Datin Dr. (H.C.) Hartini Osman atas pelantikan beliau sebagai Presiden Global G100 bagi 2026.
Pelantikan berprestij itu mencatat sejarah apabila beliau menjadi anak Malaysia pertama menerajui kepimpinan tertinggi pertubuhan wanita bertaraf antarabangsa berkenaan.
Menurut YBK, pelantikan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, malah menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan kepimpinan wanita Malaysia yang berwibawa, berintegriti serta berimpak tinggi dalam memperjuangkan agenda kesaksamaan dan pemerkasaan global.
BACA LAGI: Suami Neera Azizi digantung tugas angkara ‘gender reveal' di Tanah Suci
BACA LAGI: Tak belajar dari kesilapan, Syihan sekali lagi tinggalkan gawang undang amarah ekor Harimau Selatan

Penasihat Pentadbiran Yayasan Basmi Kemiskinan, Datin Dr. (H.C.) Hartini Osman dilantik sebagai Presiden Global G100 bagi 2026.
"G100 merupakan rangkaian kepimpinan berpengaruh yang menghimpunkan 100 pemimpin wanita dari seluruh dunia merentasi 100 wings dan sektor strategik.
"Rangkaian tersebut turut disokong oleh barisan HeForShe Champions serta 100 Country Clubs bagi setiap wing, berperanan sebagai platform advokasi, peningkatan kesedaran dan penciptaan impak melalui kerjasama strategik dengan kerajaan serta organisasi global ke arah masa depan yang lebih saksama dalam dekad ini," katanya dalam satu kenyataan.
Di samping itu, YBK turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Dr. Hartini akan membawa G100 ke tahap yang lebih progresif, berpaksikan visi global, tadbir urus berintegriti dan pendekatan berteraskan impak lestari.
"Seluruh warga YBK turut mendoakan agar Dr. Hartini Osman terus dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan kecekalan untuk memimpin G100 dengan cemerlang demi manfaat masyarakat global serta masa depan yang lebih inklusif," tambahnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
