SEORANG lelaki mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa dipotong tangan kanan di bahagian pergelangan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan sebuah motosikal, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Menurut Mohd Akmalrizal, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 20-an menunggang motosikal dari Jalan Akasia, Jenjarom menuju ke Jalan Sungai Rambai.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah lepaskan tokan dadah, balai polis dibakar penduduk
BACA LAGI: Janin bayi lelaki ditemukan dalam lori sampah di Bukit Jalil, polis masih buru suspek
"Setibanya di persimpangan, mangsa dipercayai keluar dari jalan simpang sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 20-an. Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kereta terbabit kemudiannya melanggar penghadang besi sebelum berpusing, memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebuah MPV yang dipandu seorang peniaga berusia 60 tahun.
Mangsa yang turut mengalami kecederaan pada kaki kanan dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Mangsa telah menjalani pembedahan membabitkan tangan kanan dan kini berada dalam keadaan stabil. Pemandu kereta dan MPV pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," tambahnya.
Jelas Mohd Akmalrizal, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-3187 2222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
