AKIBAT melepaskan tokan dadah, penduduk di Mandailing Natal, Sumatera Utara, Indonesia bertindak membakar balai polis dalam kejadian dilaporkan pada Sabtu.
Memetik laporan di Indonesia, Balai Polis Muara Batang Gadis menjadi sasaran kemarahan penduduk tempatan dengan mereka bertindak membakarnya hingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan pihak berkuasa itu.
Dalam kejadiaan itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
BACA LAGI: Najib Razak kekal di Penjara Kajang, Mahkamah Tinggi tolak permohonan tahanan rumah
BACA LAGI: [VIDEO] Seluruh 54 unit bazar lama di Kampar musnah dijilat api awal pagi
Menurut ketua kampung Singkuang, Sapiudin Tampubolon, tindakan itu dibuat selepas penduduk mendapat tahu seorang tokan dadah yang diserahkan mereka kepada pihak polis telah dibebaskan.
Para penduduk yang diketuai oleh kaum Hawa menangkap tokan tersebut pada Jumaat (19 Disember) semasa melakukan serbuan di lokasi-lokasi dipercayai tempat aktiviti dadah dekat kampung itu.
Tokan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada 4.30 petang hari yang sama sebelum mereka mengetahui suspek sudah dibebaskan sehari kemudian.
"Penduduk datang ke balai dan kejadian pembakaran berlaku pada waktu itu.
"Mereka berang kerana pengedar dadah itu dipercayai sudah dibebaskan. Aktiviti pengedaran dadah di wilayah ini telah menjadi masalah besar,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Ketua Polis Sumatera Utara, Pesuruhjaya Kanan Ferry Walintukan menafikan yang mereka melepaskan tokan tersebut.
Sebaliknya, mereka mendakwa tokan tersebut melarikan diri dari lokap tahanan mereka.
"Penduduk menyangka suspek telah dibebaskan. Hakikatnya, dia tidak dibebaskan tetapi telah melarikan diri dari sel tahanan Polis Muara Batang Gadis.
"Kami telah mengerahkan anggota untuk menangkap semula suspek," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
