SEKUMPULAN bomoh di Peru mengadakan ritual tahunan sempena sambutan Tahun Baharu pada Isnin dengan membuat pelbagai ramalan mengenai perkembangan dunia pada tahun mendatang.
Antara yang diramal termasuk dakwaan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal ditimpa penyakit serius serta kejatuhan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Ritual itu berlangsung di sebuah pantai di selatan Lima, menyaksikan para bomoh mengenakan ponco berwarna-warni sambil menaburkan bunga di atas pasir sebagai sebahagian daripada upacara tradisi.
BACA LAGI: [VIDEO] Rumah orang tua-tua di Sulawesi terbakar, identiti 16 mangsa maut masih dikenal pasti
BACA LAGI: [VIDEO] Padah lepaskan tokan dadah, balai polis dibakar penduduk
"AS perlu bersiap sedia kerana Donald Trump akan jatuh sakit yang serius," kata Juan de Dios Garcia, antara bomoh yang terlibat dalam ritual berkenaan.
Dalam upacara tersebut, para bomoh membawa poster besar pemimpin dunia sebelum melakukan simbolik silang pedang, membakar kemenyan dan memijak sebahagian poster berkenaan sebagai lambang ramalan nasib pemimpin terbabit.
Selain Trump dan Maduro, poster Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden China, Xi Jinping; serta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut digunakan dalam ritual tersebut.
"Kami melihat Nicolas Maduro ditewaskan. Nicolas Maduro akan melarikan diri dari Venezuela dan tidak akan ditangkap," tambah Garcia lagi.
Di peringkat domestik, Garcia turut meramalkan kemenangan Keiko Fujimori, anak kepada bekas Presiden Peru, Alberto Fujimori dalam pilihan raya presiden negara itu selepas tiga percubaan yang gagal sebelum ini.
"Melalui wachuma, iaitu tumbuhan warisan nenek moyang, saya dapat melihat bahawa Keiko Fujimori akan menjadi presiden pada 2026," ujarnya.
Para bomoh itu juga meramalkan penamatan konflik Rusia-Ukraine, dengan Garcia mendakwa peperangan tersebut akan berakhir dan digantikan dengan simbol keamanan.
Upacara ritual itu merupakan acara tahunan yang lazim diadakan pada penghujung Disember. Bagaimanapun, sebelum ini para bomoh sama pernah meramalkan penamatan perang Ukraine pada tahun 2023, yang akhirnya tidak menjadi kenyataan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
