[VIDEO] Enam parah, 100 pelancong terkandas akibat nahas kereta kabel di Itali


  • Benua
  • Rabu, 31 Dis 2025

Enam cedera selepas dua kabin kereta kabel bertembung dengan stesen atas dan bawah di Itali pada Selasa. — Agensi

LEBIH 100 pelancong terkandas di pergunungan Macugnaga, Itali, selepas dua kabin kereta kabel hilang kawalan dan melanggar stesen atas dan bawah pada Selasa.

Enam orang turut dilaporkan cedera dalam insiden yang mengejutkan tersebut sekali gus menimbulkan detik panik di kawasan peranginan popular itu.

Kejadian berlaku sekitar pukul 11.25 pagi waktu tempatan ketika laluan kereta kabel yang menghubungkan kaki bukit dengan puncak gunung sedang beroperasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Lintang-pukang pulang ke rumah, lelaki panik nama sendiri diumumkan surau sudah meninggal dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Gurauan jiran jadi kenyataan, wanita diculik ibu sendiri ketika kecil ditemukan semula selepas 40 tahun

Saksi memberitahu salah satu kabin gagal memperlahankan kelajuan sebelum merempuh penghadang stesen, menyebabkan kejadian berlaku dalam sekelip mata.

Susulan kemalangan itu, pihak berkuasa segera menutup kawasan cerun dan menghentikan operasi lif ski bagi memastikan keselamatan pengunjung.

 

 

 

Pada masa sama, pasukan Penyelamat Alpine Awam bersama polis dan bomba dikerahkan ke lokasi bagi membantu semua mangsa yang terperangkap, termasuk menggunakan helikopter untuk membawa pelancong yang berada di kawasan sukar diakses.

Pengarah Urusan Macugnaga Trasporti e Servizi, Filippo Besozzi, berkata kemalangan berlaku akibat kegagalan teknikal pada salah satu kabin.

Untuk rekod, kereta kabel berkenaan dibina pada 1962 dan dinaik taraf pada 2023 dengan kos €2 juta (RM9.8 juta) termasuk penggantian enjin dan kabin untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penumpang.

Laluan itu juga terkenal di kalangan pelancong sebagai cara utama menikmati pemandangan indah Alps, dan merupakan tarikan utama di Macugnaga.

 

 

 

 

Itali sebelum ini merekodkan beberapa kemalangan kereta kabel yang serius, termasuk insiden pada April lalu yang mengorbankan empat orang berhampiran Castellammare di Stabia.

Kejadian berulang itu juga turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kemudahan kereta kabel, menekankan kepentingan pemeriksaan berkala dan penambahbaikan standard keselamatan.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan menasihatkan pelancong agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan ketika menggunakan kemudahan rekreasi di kawasan pergunungan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram