GERAI pecal lele yang terkenal di Padang Jawa, Shah Alam, tular baru-baru ini selepas ditutup kerana isu kebersihan.
Premis yang sudah lama beroperasi dan digelar 'lejen' dalam kalangan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta penduduk setempat itu kerap menjadi tumpuan kerana beroperasi hingga lewat malam.
Walaupun terkenal dengan keenakan makanannya, penutupan gerai itu pada awal Disember lalu menunjukkan bahawa isu kebersihan tidak boleh diabaikan.
BACA LAGI:Jualan carboot di Kota Damansara pikat 'collectors', penggemar barang 'preloved'
BACA LAGI:Jana pendapatan hingga RM900, jualan kulit telur boleh bantu suri rumah buat duit

Seorang pelanggan berkongsi gambar gerai pecal lele yang sudah beroperasi semula pada 26 Disember 2025. — Threads/ @afdal_zulkifli
Kedai makan tersebut terdahulu menerima notis perintah tutup daripada Kementerian Kesihatan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor atas alasan ia tidak bersih dan tidak disucikan sehingga mungkin boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang ramai.
Berdasarkan gambar tular di media sosial, notis penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 itu berkuat kuasa dari 15 Disember hingga 28 Disember 2025.
Meskipun dikatakan sudah beroperasi semula dengan wajah baharu, isu kebersihan tidak boleh dipandang enteng lagi-lagi dengan amaran yang pernah diterima sebelum ini.
Seorang pengguna Threads, @amirul_acap berkata, kebersihan adalah tanggungjawab peniaga dan perkara asas seperti memakai sarung tangan dan menutup makanan tidak boleh dipandang remeh.
“Sedap tu subjektif, tapi bersih tu tanggungjawab. Isu makanan melibatkan kesihatan orang lain, jadi perkara asas seperti sarung tangan dan penutup makanan pun penting.
"Kadang-kadang benda kecil inilah yang membezakan peniaga biasa dengan peniaga yang betul-betul menjaga pelanggan,” katanya.
Kata mfa_82 pula, gerai tersebut sudah berwajah baharu dengan premis kelihatan lebih bersih namun kehadiran pelanggan tidak semeriah seperti sebelum ini.
"Gerai sudah buka. Meja kerusi baru, cat baru, lebih kemas dan bersih cuma masih belum ramai (pelanggan) seperti sebelum ini," katanya.
Penutupan gerai terbabit menjadi pengajaran bahawa populariti dan keenakan makanan bagi sesuatu perniagaan tidak boleh menggantikan amalan kebersihan yang baik, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
