ALGORITMA media sosial yang bersifat tidak telus dan direka untuk membuatkan pengguna ketagih kini menjadi antara ancaman terbesar terhadap keselamatan awam serta perkembangan kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, algoritma platform digital berfungsi sebagai 'sumber rahsia' bagi memastikan pengguna terus kembali ke aplikasi, sekali gus membawa risiko yang jauh lebih besar kepada kanak-kanak yang masih belum mampu mengawal penggunaan sendiri.
“Orang dewasa mungkin boleh berhenti menggunakan sesuatu platform kerana mereka mempunyai tanggungjawab dan komitmen.
BACA LAGI: Pelajar perubatan jadi 'keto baker' hasilkan manisan karbo rendah tanpa risau gula naik
BACA LAGI: [VIDEO] Nasi lemak bilis RM3 dikatakan mahal, peniaga 'awkward' berdepan pelanggan mulut puaka

Fahmi Fadzil.
“Namun apabila kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang terdedah kepada algoritma sebegini, khususnya apabila mereka tidak mampu menahannya, ia akan menjejaskan perkembangan mental dan membawa kepada ketagihan,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Fahmi berkata, kebimbangannya semakin memuncak selepas menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendedahkan peningkatan mendadak jenayah berpunca daripada media sosial, dengan angka yang disifatkannya sebagai amat membimbangkan.
“Tiga kategori paling merisaukan ialah jenayah seksual terhadap kanak-kanak, jenayah berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian. Jenayah ini berleluasa merentasi pelbagai platform,” katanya.
Beliau turut menyorot kewujudan satu kumpulan Facebook yang memfokuskan kanak-kanak perempuan bawah umur, yang dibenarkan beroperasi oleh platform tersebut walaupun jelas melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Kumpulan itu dilaporkan mempunyai antara 30,000 hingga 40,000 ahli, dengan majoritinya terdiri daripada lelaki.
Fahmi juga berkata, tokoh awam tidak terkecuali menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Beliau memberi contoh kes seorang pakar oftalmologi dan penceramah yang namanya digunakan oleh ratusan akaun palsu untuk menjual produk kesihatan tidak wujud, sehingga menyebabkan beliau menerima surat amaran daripada Kementerian Kesihatan.
“Walaupun isu ini telah dibangkitkan, akaun-akaun palsu tersebut masih aktif. Ini menunjukkan kegagalan platform untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.
Dalam hal ini, Fahmi menegaskan bahawa memastikan keselamatan dalam talian bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan atau PDRM, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa.
“Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting. Peranti bukan pengasuh dan tidak boleh menggantikan peranan ibu bapa. Membiarkan kanak-kanak menggunakan peranti selama berjam-jam adalah amat berbahaya.
“Algoritma ini boleh menyebabkan anak-anak kita ketagih, merosakkan nilai moral mereka dan menjejaskan masa depan mereka,” katanya sambil menggesa ibu bapa supaya lebih peka terhadap kandungan yang ditonton dan diakses oleh anak-anak.
Menyentuh kebimbangan global, Fahmi berkata penularan maklumat palsu dan manipulasi algoritma telah menyumbang kepada persepsi negatif terhadap institusi nasional di beberapa negara, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk memfitnah tokoh awam.
Beliau menegaskan semula bahawa kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara, selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa pengkritik tidak seharusnya didakwa.
Namun, katanya, kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah atau kandungan berbentuk jenayah.
“Kita bebas bersuara, tetapi kita tidak bebas menyebarkan fitnah sehingga mendatangkan kemudaratan serius kepada masyarakat, negara dan dunia. Itu tidak boleh dibenarkan,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
