Pelajar perubatan jadi 'keto baker' hasilkan manisan karbo rendah tanpa risau gula naik


  • Bisnes
  • Khamis, 25 Dis 2025

Akmal Hakim membantu penggemar manisan menikmati pencuci mulut tanpa perlu risau gula dalam badan naik. — Threads

BERMULA sebagai perniagaan keluarga pada tahun 2013, sebuah bakeri kecil yang diusahakan Akmal Hakim Hilman pernah mencapai kemuncak kejayaan sehingga mampu menyewa kedai sendiri pada 2017.

Namun, seperti banyak perniagaan makanan lain, operasi bakeri itu terpaksa dihentikan pada tahun 2020 akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pengalaman tersebut menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Pada 2023, dia diterima sebagai pelajar perubatan, sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang pemakanan apabila memperoleh pensijilan sebagai Certified Keto Baker pada tahun 2025.

BACA LAGI: [VIDEO] Nasi lemak bilis RM3 dikatakan mahal, peniaga 'awkward' berdepan pelanggan mulut puaka

BACA LAGI: Garis panduan tidak 'fit for purpose’ sukarkan pelesenan premis pusat jagaan warga emas

Gabungan pengalaman hampir lapan tahun dalam dunia bakeri dan latar belakang perubatan itu membentuk cara pandang baharu terhadap satu bahan yang sangat sinonim dengan industri pastri iaitu gula.

Menurut Akmal Hakim, penglibatan dalam pembuatan pencuci mulut keto membuka mata tentang kesan pengambilan gula berlebihan terhadap tubuh manusia.

Gula bukan sekadar menyumbang rasa manis, tetapi turut memberi kesan langsung kepada kestabilan tenaga dan tahap fokus seseorang.

Bergiat sebagai keto baker bertauliah, Akmal Hakim berkongsi bahawa, lonjakan dan kejatuhan paras gula darah yang kerap boleh menyebabkan rasa cepat letih, sukar menumpukan perhatian dan ketagihan untuk makan secara berulang.

"Pengambilan gula yang tinggi memaksa pankreas menghasilkan insulin secara berlebihan, sekali gus memberi tekanan kepada sistem metabolik.

"Pendekatan pemakanan rendah gula, termasuk konsep keto, membantu mengelakkan lonjakan insulin mendadak dan membolehkan tubuh menggunakan lemak sebagai sumber tenaga, bukannya menyimpannya," katanya menerusi satu perkongsian di Threads.

Akmal Hakim turut menjelaskan bahawa kesihatan bukan hanya bergantung kepada pengurangan gula semata-mata, tetapi juga kepada kualiti makanan yang diambil.

"Karbohidrat kompleks yang tinggi kandungan fiber berperanan penting dalam memberikan rasa kenyang lebih lama serta membantu mengawal penyerapan gula dalam darah.

"Fiber juga menyumbang kepada kesihatan usus, yang kini diiktiraf sebagai faktor penting dalam kesejahteraan keseluruhan tubuh," katanya.

Walaupun begitu, Akmal Hakim tidak melihat gula sebagai musuh mutlak sebaliknya, menegaskan bahawa pendekatan ekstrem dalam perubahan tabiat pemakanan sering kali sukar dikekalkan.

Menurutnya, kesihatan boleh dicapai tanpa perlu menyingkirkan sepenuhnya makanan kegemaran, asalkan pengambilan dilakukan secara sederhana dan dengan kefahaman yang betul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram