RAMAI pemilik perniagaan enterprise masih beranggapan bahawa cukai adalah beban yang tak boleh dielak.
Hakikatnya, jika diurus dengan betul dan patuh peraturan, terdapat banyak belanja operasi yang sah, halal dan dibenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengurangkan cukai perniagaan.
Perunding percukaian yang juga akauntan di AAR & CO, Amer Shahrin Amin memberikan contoh lima jenis belanja operasi yang sering terlepas pandang, namun diiktiraf dan dibenarkan di sisi undang-undang percukaian:
BACA LAGI: Ramai 'content creator' tak tahu kena bayar cukai LHDN, ini cara rekod pendapatan dan perbelanjaan
BACA LAGI: Panduan susun fail dokumen bisnes, elak serabut buat urusan pelepasan cukai LHDN

Dengan memahami belanja operasi yang dibenarkan, usahawan enterprise bukan sahaja boleh menjimatkan cukai. — Gambar hiasan/ Freepik
1. Bayar elaun pasangan atau anak
Pemilik perniagaan dibenarkan membayar elaun kepada pasangan atau anak, dengan syarat mereka benar-benar terlibat dalam operasi atau pembangunan bisnes.
Antara contoh tugasan yang dibenarkan ialah pentadbiran, pemasaran, reka bentuk, akaun atau sokongan operasi.
Bayaran mestilah munasabah, konsisten dan berdasarkan skop kerja sebenar, serta direkodkan dengan betul.
2. Belanja makan dan percutian staf
Belanja berkaitan kebajikan staf adalah belanja operasi yang dibenarkan, termasuk makan harian staf meliputi sarapan, makan tengah hari dan makan malam, jamuan akhir tahun serta jamuan perayaan.
Selain itu, percutian syarikat (company trip) yang melibatkan staf juga dikira sebagai belanja operasi.
Namun, jika percutian hanya melibatkan pemilik bisnes dan keluarga, ia tidak layak diklasifikasikan sebagai belanja operasi.
3. Derma kepada badan diluluskan LHDN
Tidak semua sumbangan atau derma boleh ditolak cukai. Hanya derma kepada badan yang diluluskan oleh LHDN sahaja yang dibenarkan sebagai potongan cukai.
Cara mengenal pasti ialah dengan menyemak senarai 'Kelulusan Derma' di laman web LHDN.
Resit derma biasanya tertera ayat 'Dikecualikan Dari Cukai LHDN. Potongan derma ini terhad kepada 10 peratus daripada aggregate income.
4. Seminar dan bengkel latihan
Belanja staf menghadiri seminar bisnes, bengkel latihan, kursus peningkatan kemahiran yang juga dikira sebagai belanja operasi yang sah, selagi ia berkaitan secara langsung dengan perniagaan.
Ini termasuk yuran pendaftaran, penginapan dan kos berkaitan latihan.
5. Elaun modal (Capital Allowance)
Pembelian aset seperti komputer riba, mesin, perabot dan peralatan pejabat tidak boleh ditolak terus sebagai belanja operasi, tetapi boleh dituntut melalui elaun modal mengikut kadar yang ditetapkan oleh LHDN.
Inilah bahagian yang paling ramai usahawan terlepas pandang, sedangkan ia memberi impak besar kepada pengiraan cukai tahunan.
Mengurus cukai bukan tentang mengelak, tetapi merancang dengan betul dan patuh undang-undang. Dengan memahami belanja operasi yang dibenarkan, usahawan enterprise bukan sahaja boleh menjimatkan cukai, malah mengurus perniagaan dengan lebih profesional dan telus.
Usahawan disarankan untuk menyimpan rekod lengkap, resit yang sah dan mendapatkan nasihat akauntan atau ejen cukai bertauliah bagi memastikan setiap tuntutan dibuat dengan betul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
