Disember rekod perbelanjaan kad kredit tertinggi sejak 2019, waspada risiko hutang 'senyap'


  • Bisnes
  • Rabu, 24 Dis 2025

Penggunaan kad kredit secara bukan impulsif boleh mengakibatkan seseorang berbelanja secara berlebihan hingga terjerat hutang. — Gambar hiasan/ Freepik

MUSIM perayaan hujung tahun menyaksikan rakyat Malaysia lebih kerap mengeluarkan kad kredit, dengan perbelanjaan melonjak ke paras tertinggi pada bulan Disember.

Sama ada untuk membeli-belah, percutian akhir tahun atau membayar bil, bulan 12 secara konsisten mencatatkan jumlah perbelanjaan kad kredit paling tinggi.

Pada tempoh ini, perbelanjaan rakyat Malaysia adalah kira-kira 19.3 peratus lebih tinggi berbanding purata perbelanjaan pada bulan-bulan lain.

BACA LAGI: Ambang 30 tahun bagi pembangunan semula bangunan wajar dikaji semula

BACA LAGI: Emas dijangka cecah AS$4,900 seauns tahun depan, perak logam paling berharga tahun ini

Great day for shopping. Two beautiful women look at the bag and boast about what they bought.

Orang ramai cenderung untuk berbelanja lebih pada hujung tahun, terutamanya apabila menerima bonus. — Gambar hiasan/ Freepik

Berdasarkan data Bank Negara Malaysia, jumlah nilai transaksi kad kredit mencapai paras tertinggi setiap Disember antara 2019 hingga 2024.

Menyifatkan trend itu sebagai konsisten, pakar kewangan menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam beban hutang apabila melangkah ke tahun baharu.

Secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan RM16.62 bilion menggunakan kad kredit setiap Disember sepanjang enam tahun lalu, jauh lebih tinggi berbanding purata RM13.93 bilion pada bulan-bulan lain.

Dari 2019 hingga 2024, jumlah perbelanjaan kad kredit pada bulan Disember mencecah RM99.73 bilion secara kumulatif.

Seiring dengan bil kad kredit tertinggi pada bulan ini, Disember turut mencatatkan jumlah transaksi paling banyak.

Pada bulan ini, penggunaan kad kredit adalah kira-kira 16 peratus lebih kerap berbanding bulan-bulan lain.

Secara purata, sebanyak 55.89 juta transaksi kad kredit direkodkan setiap bulan antara 2019 dan 2024.

Namun, pada Disember, angka itu meningkat kepada purata 64.98 juta transaksi.

Transaksi tersebut merangkumi pengeluaran tunai serta transaksi luar negara.

Mengapa Disember?

Bonus akhir tahun, cuti sekolah dan musim perayaan merupakan antara faktor utama yang mendorong peningkatan perbelanjaan pada bulan Disember, menurut pakar.

Pengerusi Malaysia Literacy in Financial Education Association, Amy Seok berkata, trend sama turut berlaku di banyak negara lain.

“Berdasarkan pengalaman saya, orang ramai cenderung untuk berbelanja lebih pada hujung tahun, terutamanya apabila menerima bonus, menikmati cuti dan menyambut perayaan.

“Apabila berasakan ada duit lebih, mereka jadi lebih sanggup berbelanja.

“Kadangkala, mereka menggunakan kad kredit lebih daripada yang disedari,” katanya.

Card payment with chip and pin machine in shop

Kad kredit perlu digunakan secara bijak dengan memberi perhatian terhadap jadual bayaran balik dan caj faedah. — Gambar hiasan/ Freepik

Perancang kewangan berlesen, Gunaseelan Kannan pula menyifatkan peningkatan perbelanjaan turut dipacu oleh perancangan percutian.

“Ibu bapa juga membuat pembelian berkaitan keperluan sekolah sebagai persediaan untuk sesi akademik baharu.

“Pada masa sama, jualan besar-besaran hujung tahun dipromosikan secara agresif dan sering dianggap sebagai pembelian berbaloi.

“Ini mendorong pengguna berbelanja lebih, malah ada kalanya melebihi perancangan asal,” katanya.

Seok berkata, musim perayaan yang dipenuhi dengan pemberian hadiah, jamuan makanan dan pelbagai sambutan turut menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan.

Beliau menambah, bonus akhir tahun juga memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berbelanja terlebih dahulu dan memikirkan soal pembayaran kemudian.

“Setiap perbelanjaan mungkin kelihatan kecil secara individu, tetapi apabila digabungkan, ia boleh meningkatkan baki hutang kad kredit,” katanya.

Elak terjerat hutang lebih besar

Bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan dan memulakan tahun baharu dengan hutang, Seok menggesa orang ramai menetapkan bajet jelas untuk Disember dan tidak menganggap bonus sebagai ‘wang percuma’.

“Gunakan sebahagian bonus untuk simpanan atau melangsaikan hutang sedia ada.

“Elakkan daripada hanya membuat bayaran minimum kad kredit kerana ini boleh menyebabkan hutang berlarutan hingga ke tahun baharu.

“Fikirkan masak-masak sebelum membuat pembelian besar dan tanyakan pada diri sendiri sama ada ia benar-benar perlu sekarang,” katanya.

home finance,husband and wife discussing paper bill receipt together with stress and confused feeling with many problem and debt home interior background

Elakkan berbelanja secara berlebihan hingga terbeban hutang. — Gambar hiasan/ Freepik

Walaupun Disember wajar dinikmati, Seok menegaskan bahawa sambutan tidak semestinya bermaksud berbelanja berlebihan atau terlalu bergantung kepada kredit.

“Kad kredit ialah alat yang berguna, tetapi hanya jika anda sudah mempunyai perancangan untuk membayarnya.

“Kena ada 'mindset' — Jika saya tidak mampu bayar dalam tempoh satu atau dua bulan, mungkin saya perlu tangguh 'shopping'.

“Memulakan tahun baharu dengan hutang yang lebih rendah memberi ketenangan fikiran dan fleksibiliti kewangan yang lebih besar,” katanya.

Gunaseelan turut mengingatkan supaya bonus diagihkan sebahagiannya untuk simpanan, dana kecemasan atau bayaran hutang.

“Kad kredit perlu digunakan secara bijak, bukan impulsif, dengan memberi perhatian terhadap jadual bayaran balik dan caj faedah.

“Jika boleh, pembelian tidak penting boleh ditangguhkan dan dinilai semula pada Januari, kerana kebanyakan keinginan berbelanja akan reda selepas musim perayaan berakhir,” katanya. — The Star/ YUEN MEIKENG

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram