KEJAYAAN penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah menggenggam segulung ijazah menjadi inspirasi kepada ramai usahawan khususnya golongan peniaga wanita.
Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha menerima Ijazah Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pada Isnin.
Selebriti berusia 50 tahun itu menerima ucapan tahniah daripada ramai pihak termasuk Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia.
BACA LAGI: 'Petak parkir bukan kawasan niaga', MBIP tegaskan Pasar Lambak Perling tidak diluluskan
BACA LAGI: Jualan carboot di Kota Damansara pikat 'collectors', penggemar barang 'preloved'
"Kejayaan sebagai seorang usahawan bukan hadir dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada ketabahan, disiplin dan keberanian untuk tidak pernah berputus asa.
"Kisah ini membuktikan bahawa usia 50 tahun bukanlah penghalang untuk seseorang menggapai impian, malah menjadi simbol kekuatan diri dalam menuntut ilmu dan mencapai kejayaan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Memetik posting berkenaan, Ifa Raziah berkata, kejayaan menggenggam segulung ijazah pada usia 50 tahun adalah satu rezeki besar daripada ALLAH serta lambang ketabahan diri yang tidak pernah mengenal erti putus asa dalam menimba ilmu.
Bidang keusahawanan yang diceburi pula amat dekat dengan perjalanan hidupnya sebagai usahawan, menjadikan kejayaan ini lebih bermakna.
Walaupun tempoh pengajian mengambil masa yang panjang kerana perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya, serta berdepan pelbagai kritikan, semuanya dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah.
Beliau percaya bahawa usia, status dan populariti bukan ukuran kejayaan sebenar, sebaliknya ilmu adalah bekalan yang kekal sepanjang hayat.
Ifa Raziah turut menitipkan nasihat agar pelajaran dijadikan keutamaan kerana populariti bersifat sementara, manakala ilmu akan sentiasa membimbing seseorang walau di mana berada.
Selagi bernafas, pintu ilmu sentiasa terbuka dan tiada istilah terlalu lambat untuk belajar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
