DARI jeriji besi ke pentas konvokesyen, perjalanan hidup Mohd Razin membuktikan bahawa kejatuhan bukan noktah kepada masa depan.
Bekas anggota keselamatan itu menamatkan pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) di Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas melalui tempoh getir selama tiga tahun dalam tahanan di Penjara Alor Setar.
Kisah kejayaannya dikongsikan menerusi hantaran di Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai kerana ketabahan luar biasa yang ditunjukkan.
Beliau ditahan pada 20 Jun 2022 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan hanya dibebaskan selepas didapati tidak bersalah pada 1 April 2025.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk hidup di penjara. Segalanya gelap, waktu seakan berhenti,” katanya.

Pada 18 September 2024, beliau hadir ke sesi viva dengan berpakaian ungu tahanan penjara.
Rumah tangga musnah ketika dalam tahanan
Ujian paling berat menimpa ketika berada di sebalik tembok besi iaitu isteri memohon fasakh dan rumah tangga yang baru dibina berakhir dengan perceraian.
“Konflik keluarga dan tekanan kewangan membuatkan perceraian berlaku ketika saya masih ditahan. Jiwa saya hampir rebah. Tapi di saat itu saya sedar, ALLAH tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik saya untuk menjadi manusia yang baru,” ujarnya.
Walaupun gajinya ditahan dan kehidupannya terbatas, semangat untuk bangkit tidak pernah padam, di samping doa menjadi tongkat kekuatan.
Tulis tesis dari dalam sel penjara
Dengan bantuan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, Dr. Mazli Mutazam, serta sokongan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan dan kerjasama Pengarah Penjara Alor Setar, Suhairi Awang, beliau dibenarkan meneruskan pengajian dari dalam penjara.
Setiap helaian tesis disiapkan dalam ruang sempit berukuran 8x15 kaki, berlampu samar, tanpa kipas dan hanya beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.
“Saya menulis dan membaca setiap hari dengan satu harapan iaitu agar keluar nanti bukan sekadar sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu ialah kebebasan sebenar,” katanya.
Pada 18 September 2024, beliau hadir ke sesi viva dengan berpakaian ungu tahanan penjara.
“Tiada tali leher, tiada uniform rasmi. Tapi saya yakin ilmu mampu membebaskan jiwa.
“Apabila pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu saya tahu, ALLAH tidak pernah meninggalkan saya,” katanya lagi.

Ibunya berjuang dari luar penjara dengan menyediakan keperluan untuk membolehkannya terus belajar.
Kejayaan itu sekaligus menjadi inspirasi kepada ramai bahawa penjara bukanlah penamat kehidupan.
Segala pengorbanan tidak akan bermakna tanpa sokongan ibu yang sentiasa percaya terhadap potensi anaknya.
“Ibu saya berjuang dari luar penjara dengan menyediakan apa sahaja supaya saya dapat terus belajar.
“Hari ini, beliau paling gembira melihat saya naik ke pentas menerima ijazah,” katanya.
Selepas dibebaskan dan berjaya menamatkan pengajian, Mohd Razin menganggap kejayaan ini sebagai dua kemenangan besar dalam hidupnya.
“Saya bebas selepas mahkamah dapati saya tidak bersalah dan hari ini saya menggenggam ijazah sarjana.
“Kini saya faham, kebebasan sebenar bukan bila pintu sel dibuka, tetapi bila minda tidak lagi dikurung oleh pandangan orang lain,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM, para pensyarah, pegawai penjara serta ibunya yang tidak pernah berhenti percaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
