TULAR sebuah video memaparkan kekecohan di Jalan Persiaran Wawasan, berhampiran Kompleks Seri Putera, Kangar, Perlis selepas seorang pengguna jalan raya dilanggar sebuah pikap polis dalam kejadian pada Rabu.
Video berdurasi beberapa saat itu menunjukkan seorang lelaki beremosi dipercayai rakan mangsa apabila dia mendakwa anggota polis terlibat memandu laju sebelum insiden berlaku.
"Abang (anggota polis) bawa begitu nak pergi mana? Kalau abang bawa slow, tak jadi begini," katanya dengan nada sebak.
BACA LAGI: Polis tahan lelaki serang Haresh Deol, suspek direman 3 hari
Rakaman sama turut memaparkan suasana tegang apabila seorang lelaki dilihat menghampiri anggota polis terbabit sebelum mencekak bajunya, manakala beberapa individu lain turut menengking dan meluru ke arah pegawai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dalam satu kenyataan mengesahkan seorang anggota polis telah ditahan susulan kemalangan berkenaan yang berlaku sekitar pukul 10.20 malam.
Yusharifuddin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap tersebut yang sedang melakukan rondaan sebelum bertembung dengan dua motosikal.
"Penunggang motosikal berusia 24 tahun maut, manakala seorang lagi berusia 25 tahun cedera parah. Ketika kejadian, kedua-duanya dalam perjalanan dari arah Seriab menuju ke Gua Sami.
"Anggota yang memandu pikap polis itu telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada Rabu sambil meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sementara siasatan diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
