SEORANG wanita dilaporkan maut selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam Sungai Muar berhampiran Tanjung Agas, Muar, Johor pada Isnin dalam satu kejadian tragis yang tular di media sosial.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas satu video berdurasi kurang seminit yang dimuat naik di laman Facebook, Anak-Anak Muar menunjukkan beberapa anggota bomba bertungkus lumus menarik keluar sebuah Nissan Grand Livina dari dasar sungai.
"Kereta Grand Livina guys, dalam itu ada orang. Katanya baru terjadi dalam lima, 10 minit," kata seorang lelaki yang didakwa merupakan individu yang merakam video tular itu.
BACA LAGI: Bila dah tiada, baru orang ramai bercakap tentang kebaikan awak — Zizie Ezette
Menurut maklumat awal yang tersebar di media sosial, mangsa merupakan seorang wanita berbangsa Cina dari Parit Jawa, namun identiti penuh masih belum disahkan pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati kereta mangsa dipercayai terus bergerak ketika cubaan membrek, namun dalam keadaan panik dengan mangsa dipercayai tertindih pedal minyak secara tidak sengaja.
Kenderaan berkenaan kemudian meluncur laju sebelum terjunam ke sungai dan melanggar struktur tangga di tebing.
Berdasarkan hantaran itu juga memaklumkan bahawa saksi di lokasi memaklumkan kenderaan tersebut tenggelam dalam masa singkat, manakala arus deras menyukarkan sesiapa untuk membantu.
Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa mangsa sempat melambai tangan meminta pertolongan sebelum kereta tersebut hilang sepenuhnya ke dasar sungai.
Pihak bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi mengeluarkan kenderaan, manakala polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
