[VIDEO] Keterangan meragukan, polis tahan ibu bapa 2 beradik lemas di Sungai Linggi


  • Kes
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Dua kanak-kanak maut selepas kereta mereka menggelongsor ke dalam sungai.

POLIS menahan ibu bapa dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Linggi dekat Seremban, Negeri Sembilan selepas kereta mereka menggelongsor ke dalam sungai dalam kejadian pada Khamis.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pasangan itu ditahan kerana terdapat kesangsian dalam kenyataan diberikan berhubung insiden.

Semakan terhadap suspek lelaki berusia 46 tahun itu mendapati dia mempunyai 16 kes lampau dan berada dalam senarai dikehendaki atas empat kesalahan dilakukan.

BACA LAGI: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di Sungai Linggi

BACA LAGI: Warga emas maut kereta hanyut dibawa arus deras sungai lepas hantar isteri di Kapit

Sementara itu, suspek wanita didapati tidak mempunyai sebarang rekod polis lampau dengan ujian air kencing kedua-dua mereka didapati negatif sebarang penggunaan barang terlarang.

Alzafny turut menjelaskan bahawa semakan mendapati kereta yang terlibat dalam kes tersebut dilaporkan dicuri dan polis sudah memohon tahanan reman ke atas dua suspek itu pada Jumaat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu digesa menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Komisioner Che Husin atau menghubungi Balai Polis Seremban untuk membantu siasatan.

Pada Khamis, dua kanak-kanak yang merupakan adik beradik lemas selepas kereta yang diletakkan sepanjang Sungai Linggi secara tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.

Kereta yang terlibat dalam insiden dilaporkan dicuri.

Ketua Polis Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan adiknya berusia enam tahun sedang berehat dalam kenderaan ketika kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki keluar dari kereta yang sudah dimatikan enjin untuk merokok sebelum ia secara tiba-tiba menjunam dalam sungai.

Jelas Maslan, orang ramai yang berada di lokasi sempat mengeluarkan suspek wanita, namun gagal membantu dua mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram