SEBUAH pertunjukan aksi ekzos berapi di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Teluk Panglima Garang, Klang, Selangor, bertukar mimpi ngeri apabila dua kenderaan terbakar pada Ahad.
Kejadian berlaku ketika program pameran kereta sedang berlangsung, yang sebelum itu disambut sorakan dan kekaguman pengunjung terhadap deruman enjin serta aksi kenderaan ubah suai.
Dalam kebakaran itu, sebuah Perodua Myvi musnah 90 peratus manakala Toyota Vios mengalami kerosakan kira-kira dua peratus. Insiden tersebut turut tular di media sosial dan kini menjadi bualan ramai.
BACA LAGI: Lelaki maut ditetak dalam pergaduhan besar di Klang
Rakaman video yang dimuat naik menunjukkan kebakaran berpunca daripada sebuah lagi kereta Myvi yang melakukan aksi ekzos berapi. Percikan api daripada pertunjukan itu dipercayai merebak ke kenderaan bersebelahan dengan pantas.
Pengunjung hanya mampu berundur sambil menyaksikan kereta tersebut dijilat api tanpa sempat diselamatkan. Bahang panas juga menyebabkan sebuah lagi kenderaan berhampiran mengalami kerosakan.
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial meluahkan rasa kesal terhadap insiden tersebut.
Mohd Azmi Johar menegur bahawa dalam banyak-banyak kereta, tidak sepatutnya tiada alat pemadam api kerana kosnya tidak tinggi, lebih murah berbanding kos ubah suai kenderaan.
"Dalam banyak-banyak kereta tu, takkan tak ada alat pemadam api… kos ubah suai lagi mahal, alat pemadam api tak sampai RM100," katanya.
Rashid Family’s pula menyatakan rasa simpati terhadap kereta bersebelahan yang turut hangus.
"Kesian kereta sebelah pula yang hangus," tulisnya.
Manakala Mokhrin Farid Mokhtar berpendapat kemungkinan insurans tidak dapat dituntut dan menegur bahawa kejadian itu berpunca daripada kelalaian sendiri.
"Rasanya insurans pun tak boleh claim… sendiri cari penyakit," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.25 malam.
Empat anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi dan tiba dalam masa 12 minit.
“Kebakaran berjaya dipadamkan pihak bomba dan tiada mangsa terlibat. Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
