PENGANJURAN International Golden Monsoon Ride and Run (IGMRR) 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kali dianjurkan dalam bentuk festival selama tiga hari bermula Khamis minggu lepas, sekali gus menghimpunkan ratusan penggemar sukan larian dan berbasikal dari dalam serta luar negara.
Penganjuran IGMRR kali ini menampilkan pelbagai kategori perlumbaan melibatkan acara larian dan berbasikal yang berlangsung di sekitar tengah bandar raya Kuala Terengganu.
Festival itu sekali gus menjadikan kawasan tersebut seolah-olah 'berkampung' dengan kehadiran peserta, penyokong serta pengunjung sepanjang tempoh festival.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU mengamuk sebelum tetak moyang, tikam nenek hingga mati di Kedah
Acara berkenaan bukan sahaja bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, malah dijadikan platform memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan, khususnya ketika Monsun Timur Laut yang sinonim dengan negeri itu.
Selain perlumbaan utama, IGMRR 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pameran sukan, reruai jualan, sesi interaksi komuniti serta program promosi pelancongan yang menyasarkan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negeri.

Antara komen daripada warga maya.
Bagaimanapun, penganjuran festival tersebut tidak terlepas daripada kritikan apabila penutupan beberapa laluan utama di pusat bandar sepanjang tempoh acara mencetuskan rungutan orang awam, khususnya penduduk setempat yang terjejas dengan kesesakan lalu lintas.
Sebahagian warga maya di media sosial menyuarakan kebimbangan terhadap perancangan trafik dan penyelarasan pihak penganjur yang didakwa kurang berkesan, selain mencadangkan agar penganjuran acara berskala besar pada masa hadapan dipertimbangkan untuk diadakan di kawasan atau daerah lain bagi mengurangkan kesan kepada orang awam.
Tinjauan di laman sosial rasmi penganjur acara berkenaan mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati apabila aktiviti tersebut mengganggu rutin harian mereka, khususnya pada hujung minggu melibatkan urusan keluarga, perniagaan dan perkhidmatan awam.
Seorang pengguna Facebook, Wan Azmi Azmi berpendapat penganjuran program berskala besar yang menutup jalan awam di pusat bandar wajar dihadkan.
"Cubalah buat program di daerah-daerah lain. Boleh juga naikkan ekonomi setempat. Rasanya rakyat Kuala Terengganu dah jemu dengan terlalu banyak program yang menyusahkan rakyat akibat kesesakan jalan raya,” katanya.
Situasi itu turut diburukkan lagi dengan bermulanya musim cuti sekolah apabila peningkatan kehadiran pelancong menyebabkan aliran trafik semakin sesak, sekali gus mencetuskan reaksi bercampur-baur dalam kalangan pengunjung.

Tinjauan di laman sosial rasmi penganjur acara berkenaan mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati apabila aktiviti tersebut mengganggu rutin harian.
Seorang pelancong, Mohamad Firdaus meluahkan kekecewaan apabila pergerakannya terjejas akibat penutupan jalan yang tidak dimaklumkan secara jelas.
"Nak balik ke hotel jarak 1.5 kilometer pun susah, sana tutup sini tutup. Penat bayar hotel, rosak habis perancangan datang ke Terengganu," katanya.
Bukan sahaja menerima kecaman orang awam, penganjuran acara itu turut dikritik oleh peserta sendiri yang mendakwa pengurusan lemah, walaupun acara berkenaan dihebahkan sebagai bertaraf antarabangsa.
Seorang peserta, Ahmad Zafiri Noor Asila mendakwa proses pendaftaran perlumbaan berlarutan sehingga dua hari dan tidak teratur.
"Pada 18 haribulan, tunggu dua jam kemudian diminta balik dan datang semula petang, tetapi masih tidak selesai.
"Keesokan hari datang pukul 10 pagi, tunggu lagi sebelum dapat nombor pelumba. Itu pun terpaksa buat nombor baharu. Acara flag off MTB pula lewat 30 minit,” katanya.
Dalam pada itu, seorang saksi awam yang enggan dikenali mendakwa berlaku insiden kemalangan melibatkan seorang pelumba dengan orang awam semasa perlumbaan berlangsung.
Tinjauan terkini mendapati beberapa komen di laman sosial rasmi penganjur sudah dipadam atau tidak lagi dapat dilihat.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2025, selain acara berkenaan, dua lagi penganjuran acara larian berskala besar di negeri berkenaan turut menerima kritikan peserta dan orang awam susulan dakwaan pengurusan yang lemah serta pelbagai isu teknikal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap kesiapsiagaan penganjur dalam mengendalikan acara sukan berskala besar di ‘Negeri Paling Bahagia’.
Sehingga kini, pihak penganjur hanya mengeluarkan permohonan maaf di atas kelewatan proses pendaftaran perlumbaan dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung rungutan yang dibangkitkan.
Namun, permohonan maaf itu dilihat tidak menghentikan perbincangan mengenai IGMRR 2025 yang masih hangat diperkatakan di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
