Diskaun tol 50 peratus selama dua hari bermula 23 Disember sempena Krismas


  • Massa
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Pengguna lebuh raya menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula 23 Disember sempena sambutan Hari Krismas. — Gambar hiasan

PENGGUNA lebuh raya menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula 23 Disember sempena sambutan Hari Krismas (25 Disember).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun tersebut melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM20.65 juta yang akan ditanggung kerajaan sebagai pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya terlibat.

"Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan RM20.65 juta bagi menampung pemberian diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Krismas tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU mengamuk sebelum tetak moyang, tikam nenek hingga mati di Kedah

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kalau kemalangan lagi bahaya', mat rempit tinggalkan kekasih tepi jalan gara-gara sekatan jalan raya

Beliau berkata, diskaun itu hanya melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol di seluruh negara, kecuali di plaza tol sempadan iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Jelasnya, inisiatif tersebut dijangka dapat meringankan sebahagian kos perjalanan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman untuk menziarahi keluarga atau bercuti bersama keluarga sempena musim perayaan dan cuti sekolah.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

"Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan budaya,” ujarnya.

Tambah beliau, pemilihan tarikh berkenaan juga bertujuan untuk melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh perayaan dan cuti sekolah, khususnya pada hari-hari puncak pergerakan balik kampung dan kembali ke bandar.

"Ia sekali gus dapat mengoptimumkan operasi lebuh raya termasuk penggunaan hentian rehat, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta kemudahan di sepanjang lebuh raya,” katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya menggalakkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi navigasi TuJu oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan aplikasi MyPLUS-TTA bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selesa.

Pengguna juga dinasihatkan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), selain mengutamakan keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan keadaan trafik dan sebarang insiden melalui saluran media sosial rasmi LLM iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, X @LLMtrafik dan TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

"Saya menyeru semua pengguna lebuh raya agar memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya. Berehatlah sekiranya berasa letih atau mengantuk demi keselamatan bersama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram