Man United nekad 'sailang' pengganti Salah di Liverpool


  • Podium
  • Khamis, 18 Dis 2025

Liverpool memburu khidmat Semenyo bagi menggantikan Salah yang dikatakan akan berhijrah pada Januari nanti. — Agensi

MANCHESTER United dilaporkan sudah memantau potensi perpindahan Antoine Semenyo, sekali gus menghangatkan lagi persaingan mendapatkan khidmat penyerang Bournemouth itu menjelang jendela perpindahan Januari.

Menurut wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano, bintang berusia 25 tahun tersebut kini menjadi tumpuan beberapa kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan prestasi konsistennya bersama The Cherries.

Semenyo memiliki klausa pelepasan bernilai £65 juta (RM390 juta) dalam kontraknya di Stadium Vitality, menyebabkan beberapa kelab besar tampil menyatakan minat.

BACA LAGI: Sangka menang tipis, Amorim kecewa Man United terlalu santai 'bocor' minit akhir

BACA LAGI: Jika takut, kenapa jadi pemain Man United? — Roy Keane

Selain Manchester United, seteru sekota mereka Manchester City turut dilaporkan telah menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi pemain itu.

Malah, Liverpool juga dikatakan sudah membuat pendekatan sejak November lalu, namun masih menilai perancangan pasukan termasuk masa depan Mohamed Salah sebelum membuat keputusan muktamad.

"Manchester United dan Manchester City telah menghubungi untuk memahami situasi Semenyo yang mempunyai klausa pelepasan £65 juta. Namun, keputusan akhir bukan sekadar soal kewangan, sebaliknya terletak di tangan pemain," kata Romano.

Prestasi Semenyo musim ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling menyerlah di EPL. — Agensi

Digelar rakan sepasukannya di Bournemouth, Justin Kluivert sebagai pemain bertaraf 'kelas dunia', Semenyo telah menjaringkan tujuh gol dan mencatat tiga bantuan gol dalam 16 perlawanan musim ini.

Statistik berkenaan menyusul musim 2023/2024 yang menyaksikannya meledak 13 gol dan mencipta tujuh bantuan gol dalam 42 aksi.

Bagaimanapun, perpindahan ke Old Trafford dilihat berdepan cabaran dari segi kewangan memandangkan Manchester United sudah melabur besar untuk mendapatkan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.

Amorim dikatakan berminat untuk menggunakan khidmat Semenyo. — Agensi

Situasi berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kelab berkenaan mampu memenuhi klausa pelepasan bernilai tinggi tersebut.

Walaupun Liverpool dan Manchester City berpotensi menawarkan peluang memenangi trofi, Semenyo dikatakan perlu mempertimbangkan risiko menjadi pemain simpanan di dua kelab itu.

Sebaliknya, perpindahan ke Manchester United berkemungkinan besar menjadikan beliau tonggak utama pasukan, dengan pengendali baharu, Ruben Amorim, dikatakan mahu membina skuad berteraskan pemain tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram