Budak lelaki 5 tahun maut, MPV rempuh mangsa ketika melintas di Alor Gajah


  • Kes
  • Rabu, 17 Dis 2025

Keadaan Toyota Avanza dipandu seorang lelaki yang melanggar mangsa di Jalan Paya Mengkuang. — IPD Alor Gajah

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas di Jalan Paya Mengkuang, di Alor Gajah, Melaka pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 petang itu, mangsa iaitu Muhammad Iman Nazzhan Jasri dipercayai sedang melintas dari sebuah taman perumahan ke seberang jalan sebelum dirempuh sebuah Toyota Avanza.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun yang datang dari arah Paya Mengkuang menuju ke Masjid Tanah.

BACA LAGI: Janin bayi lelaki ditemukan dalam lori sampah di Bukit Jalil, polis masih buru suspek

BACA LAGI: [VIDEO] Polis siasat treler bawa helikopter halang laluan ambulans di KESAS

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan,"  katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Menurut beliau, keadaan jalan di lokasi kejadian merupakan laluan satu lorong dua hala dengan permukaan jalan kering serta cuaca baik ketika kejadian berlaku.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan brek sepanjang kira-kira lima meter dan kenderaan terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan," jelasnya. 

Tambahnya, pihak polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu yang bekerja sebagai penyelia dan mendapati keputusan ujian adalah negatif bahan terlarang.

Dalam pada itu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, berita pemergian Muhammad Iman Nazzhan turut dikongsikan oleh pihak Tabika Kemas Pengkalan Balak B yang menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram