POLIS membuka siasatan berhubung video tular yang memaparkan sebuah lori treler membawa muatan helikopter sehingga menghalang laluan kenderaan awam di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam Jumaat selepas rakaman video terbabit dimuat naik di aplikasi TikTok.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku pada pukul 4.30 petang, 4 Disember lalu apabila sebuah lori treler panjang yang membawa muatan helikopter gagal melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke arah Persiaran Kewajipan disebabkan muatan yang terlalu panjang.
BACA LAGI: Kereta disimbah cat, mangsa dakwa jadi mangsa khianat along gara-gara hutang jiran
BACA LAGI: Beri masa AirBorneo letak harga sesuai — Abdul Karim

Sebuah lori treler panjang yang membawa muatan helikopter dilihat menghalang laluan ambulans.
“Situasi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pergerakan pengguna jalan raya lain.
“Dalam kejadian sama, sebuah ambulans turut dilihat mengalami gangguan perjalanan akibat kesesakan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wan Azlan berkata, setakat ini polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran lori treler terbabit dan siasatan sedang dijalankan mengikut Kaedah Rule 9(2) LN 166/59.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495.
Beliau turut memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
