KONTROVERSI pembatalan sebuah majlis perkahwinan di Bareilly, Uttar Pradesh, India baru-baru ini terus mencuri perhatian selepas pengantin lelaki, 29 tahun, tampil membuat dakwaan balas terhadap pihak wanita.
Dakwaan berkenana dibuat selepas video pengantin perempuan menuduh wujudnya tuntutan hantaran sebanyak Rs 20 lakh (RM92,000) dan sebuah kereta baharu tular di media sosial.
Pengantin lelaki yang bekerja sebagai pereka fesyen itu mendakwa perkahwinan tersebut dibatalkan bukan kerana isu hantaran, sebaliknya kerana pengantin perempuan enggan berkahwin dengannya susulan bentuk tubuhnya yang bersaiz besar.
Majlis perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat itu dibatalkan oleh pihak perempuan selepas mendakwa keluarga pengantin lelaki membuat tuntutan hantaran sebaik rombongan perkahwinan tiba lewat ke lokasi majlis.
Menurut pengantin perempuan, tindakan berkenaan mendorongnya membatalkan perkahwinan pada saat akhir.
Bagaimanapun, pengantin lelaki menafikan dakwaan tersebut dan sebaliknya mendakwa dia serta ahli keluarganya telah ditahan secara paksa di rumah pengantin perempuan, selain barangan kemas dan barangan berharga mereka dirampas.
Bukan itu sahaja, lelaki berkenaan turut mendakwa dirinya sering menjadi mangsa penghinaan berkaitan bentuk tubuh oleh keluarga pengantin perempuan sejak tempoh pertunangan lagi.
"Sejak pertunangan, keluarga mereka sering memperlekehkan fizikal saya. Pengantin perempuan sebelum ini berkata dia tidak kisah dengan penampilan saya, malah kami pernah keluar bersama. Namun pada hari perkahwinan, dia tiba-tiba menyifatkan saya gemuk dan enggan berkahwin dengan saya.
"Mereka kemudian mencetuskan isu hantaran ini untuk menuntut semula perbelanjaan majlis. Kini, keluarga pengantin perempuan pula menuntut Rs 50 lakh (RM285,000) sebagai penyelesaian," katanya.
Bareilly Wedding Turns Ugly: Groom Breaks Silence
A day after a bride accused the groom of demanding ₹20 lakh and a car, the 29-year-old groom hit back with disturbing allegations.
He claims the marriage was called off not because of dowry, but because the bride and her family… pic.twitter.com/pM7rf5DyGH
— ShoneeKapoor (@ShoneeKapoor) December 15, 2025
Susulan laporan yang dibuat oleh pengantin perempuan, polis mendaftarkan satu laporan maklumat pertama (FIR) di bawah Seksyen 115 Kanun Kesalahan Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) berkaitan kecederaan secara sukarela, Seksyen 352 berkaitan penghinaan dengan niat mencetuskan pelanggaran keamanan, serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Hantaran.
Pengantin lelaki turut mengemukakan laporan balas berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Bareilly, SSP Anurag Arya memaklumkan bahawa setakat ini tiada elemen tuntutan hantaran dikenal pasti dalam kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan.
Dalam perkembangan sama, seorang pegawai polis memaklumkan bahawa pengantin lelaki dipercayai tertidur semasa perarakan perkahwinan, menyebabkan keluarga pengantin perempuan menyangka dia berada dalam keadaan mabuk, sekali gus mencetuskan salah faham yang membawa kepada insiden tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
