[VIDEO] Pemandu ‘bas pink’ positif syabu — Polis Melaka


  • Kes
  • Khamis, 11 Dis 2025

Tangkap layar 'bas pink' dan kereta Axia dilihat membrek secara mengejut serta melakukan pergerakan zig zag antara satu sama lain sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

SEORANG pemandu bas henti-henti atau lebih dikenali dengan ‘bas pink’ ditahan selepas tular videonya melakukan aksi pemanduan berbahaya zig zag dengan sebuah Perodua Axia di Taman Angkasa Nuri, Melaka pada Rabu. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pukul 8.25 pagi Rabu.

BACA LAGI : ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’, tanda kebergantungan digital kanak-kanak makin membimbangkan

BACA LAGI : [VIDEO] Tak boleh 'claim' kasut sukan, pakar kewangan kongsi 5 tip pelepasan cukai ramai terlepas pandang

"Ketika kejadian, Bas.My dipandu lelaki berusia 47 tahun dan pemandu Perodua Axia, wanita, 44 tahun datang dari arah Bulatan Taman Angkasa Nuri menuju ke Jalan Industri Angkasa Nuri.

 

"Berdasarkan rakaman video tular, kedua-dua kenderaan dilihat membrek secara mengejut serta melakukan pergerakan zig zag antara satu sama lain sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Susulan itu, pemandu bas dibawa menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu), manakala pemandu kereta bebas dari sebarang pengambilan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pemandu bas ditangkap dan permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

"Ketika kejadian tiada penumpang di dalam bas henti-henti itu dan kita percaya berlaku provokasi antara pemandu dua kenderaan namun ia masih dalam siasatan.

"Ini adalah kesalahan pertama pemandu bas berkaitan dadah.  Sebarang maklumat berkaitan insiden boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Rodin Lai Muhamad Lai, di talian 017-7105323," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram