'Jangan sekadar tengok harga', 19 perkara perlu ada dalam 'checklist' sebelum beli rumah lama


  • Hias
  • Rabu, 10 Dis 2025

Membeli rumah lama mempunyai kelebihan dan risiko tersendiri. — Gambar hiasan

MEMBELI rumah subsale (rumah lama) semestinya menjadi pilihan ramai, mungkin kerana harganya lebih stabil, kawasan kejiranan sudah membangun atau lokasinya sendiri yang strategik.

Namun, proses memiliki jenis rumah tersebut hadir dengan tanggungjawab besar, sekali gus memerlukan pemerhatian teliti serta persediaan kewangan lebih jelas.

Pandangan itu turut dikongsikan ejen hartanah, Azzam Hasban yang berpengalaman mengurus ratusan urusan jual beli hartanah di sekitar Johor.

BACA LAGI: Anggap Sarawak rumah, Tunku Azizah imbau momen terima keringkam sebagai hantaran kahwin pada 1986

BACA LAGI: Ibu trauma detik anak tunggal 'ditidurkan' akibat mycroplasma pneumonia, dapat pula khabar si 'adik' 4 minggu dalam rahim

Membeli rumah lama berkemungkina terdapat banyak kos tambahan tersembunyi yang perlu dikeluarkan oleh pemilik baharu. — Gambar hiasan/Facebook

Menurutnya, struktur bangunan yang dilihat cantik tidak semestinya bebas daripada sebarang kos tambahan.

"Beli rumah lama ini bukan sekadar tengok harga atau cat baharu terus jatuh cinta.

"Setiap rumah ada cerita. Ada manis, pahit dan perlu lebih berhati-hati.

"Sebab itu bila masuk satu unit, aku tak terus tengok sofa, penghawa dingin bahkan langsir.

"Aku tengok benda yang diam-diam makan kos," katanya.

Justeru, beliau berkongsi sebanyak 19 senarai semakan asas yang wajib dipertimbangkan pembeli sebelum membuat keputusan.

Setiap kerosakan di dalam rumah perlu diperiksa sebelum membuat pembelian. — Gambar hiasan/AI

1. Tompok kuning pada siling sebagai tanda kebocoran lama.

2. Tekanan air rendah yang mungkin berpunca daripada sistem paip.

3. Suasana kejiranan serta keselamatan kawasan pada waktu malam.

4. Pembeli perlu datang waktu malam bagi memastikan kawasan parkir kenderaan aman atau tidak.

5. Bau kurang menyenangkan yang menandakan kehadiran tikus atau serangga.

6. Kabinet dapur antara kawasan penting untuk diperiksa sekiranya terdapat bau tidak menyenangkan.

7. Sistem flushing dan bau tandas sebagai indikator saliran.

8. Tingkap yang sukar dibuka menandakan karat dan kerosakan.

9. Bil elektrik mencurigakan pada rumah kosong dilihat sebagai petanda masalah pada sistem pendawaian.

10. Struktur kayu yang lembut akibat serangan anai-anai.

11. Suis dengan kesan terbakar, keretakan dinding, bumbung senget atau susunan jubin tidak teratur di lantai.

12. Jika terdapat jubin yang terangkat dari lantai memberi pertanda bahawa gam yang digunakan sudah lama, lantai mengembang dan mengecut atau proses pemasangan pemilik lama tidak kemas.

13. Usia paip dan sistem elektrik yang mungkin perlu diganti.

14. Meneliti panjang rekahan di dinding.

15. Bertanya pada pemilik asal tentang usia sistem pendaiwan serta saluran paip air.

16. Perhatikan siling sekiranya terdapat sudut menggelembung akibat takungan air.

17. Memeriksa semua jenis saluran paip termasuk sinki, pancuran mandi, bidet dan sebagainya.

18. Memeriksa kali terakhir rumah tersebut didiami kerana dibimbangi terdapat perkara-perkara tidak diingini berlaku.

19. Lihat arah matahari bagi mengelakkan suhu rumah terlalu panas terutama pada waktu pagi atau petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram