DIASASKAN lebih 35 tahun lalu, jenama kasut terkenal, Dr Cardin kini meneruskan legasinya di bawah pengurusan generasi ketiga.
Merupakan antara syarikat tempatan yang diminati ramai, Dr Cardin ternyata dijenamakan semula daripada perniagaan turun-temurun keluarga.
Berkesempatan berkongsi kisah di sebalik bisnes yang semakin maju ini, Ketua Pegawai Penjenamaan syarikat berkenaan, Chong Charl Yee tidak menafikan ramai tidak menyangka jenama tersebut merupakan milik anak Malaysia.
BACA LAGI: Pikat 'tekak' orang muda, hotel kini tukar strategi
BACA LAGI: Dulu beratur demi bantuan makanan, ramai tak tahu kisah pengasas WhatsApp

Setiap kasut dihasilkan mementingkan keselesaan dengan rekaan lebih kasual. — Dr Cardin
Menurutnya, ia dimulakan oleh datuknya yang pada awalnya menjalankan perniagaan pembuatan dan pembekal kasut kulit keselamatan.
Namun, seiring perubahan zaman, bisnes Dr Cardin dikembangkan lagi oleh bapanya dengan diuruskan oleh kesemua ahli keluarganya termasuk adik beradiknya.
Katanya kos pembuatan dan penggunaan bahan kulit yang mahal tidak lagi dilihat berbaloi untuk terus kekal relevan di Malaysia.
Justeru, adik bongsunya mengambil keputusan untuk mengambil alih menjenamakan semula Dr Cardin serta produknya kepada gaya yang lebih santai dan selesa dipakai terutama golongan muda.

Matlamat baharu Dr Cardin sejak diasaskan lebih 35 tahun lalu. — Dr Cardin
Realiti bisnes keluarga
Bekerja dalam dunia korporat dilihat umpama kerjaya, tetapi mengurus bisnes keluarga pula umpama tanggungjawab hakiki.
Ia sensitif, emosi dan 10 kali lebih rumit daripada mesyuarat bulanan.
"Ramai tanya saya apa cabarannya, memang tak dinafikan susah juga kerja dalam bisnes keluarga sebab ayah ada enam adik-beradik.
"Setiap daripada mereka pula memang pegang jawatan sebagai ketua jabatan dalam syarikat ini.
"Mungkin akan ada yang terkejut, kami semua tinggal di bawah satu bumbung yang sama.
"Boleh kata kira-kira 16 orang dalam satu rumah besar sebab kesemua adik-beradik ayah termasuk keluarga kecil mereka tinggal di sini," katanya kepada Majoriti.

Datuknya (depan, tengah) dan bapanya (belakang, tengah) antara individu yang mengetuai perniagaan Dr Cardin. — Charl Yee
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, statusnya sebagai graduan dari sebuah universiti di United Kingdom (UK) pada usia 22 tahun juga menjadi cabaran baginya.
Lebih mencabar apabila Charl Yee pada awalnya ditugaskan untuk menguruskan sebuah jenama lain dan berbeza dengan kedudukan Dr Cardin yang sudah kukuh pada waktu itu.
Dengan ahli pasukan yang kecil sekali gus memberi tekanan luar biasa buatnya untuk memperkenalkannya kepada pelanggan.
Disebabkan itu, Charl Yee membuat keputusan untuk menyertai adik bongsunya mengembangkan lagi jenama Dr Cardin dalam pasaran tempatan.
"Saya pernah berjanji untuk tidak bekerja dengan adik sebab dia berjaya kenalkan jenama Dr Cardin kepada orang ramai.
"Tetapi, sekarang kami bersama bangunkan jenama ini.
"Ia bukanlah tentang kedudukan atau jawatan, tetapi lebih kepada kelebihan dan kekuatan masing-masing," jelasnya.

Charl Yee kini bertanggungjawab menguruskan kerja melibatkan penjenamaan Dr Cardin.
Rumah jadi bilik mesyuarat
Di saat perniagaan sedang rancak berkembang, pandemik Covid-19 muncul bagaikan taufan.
Fenomena sekatan pergerakan keluar sekali gus mengubah landskap operasi syarikat Dr Cardin.
Kata Charl Yee, seluruh sudut di dalam rumah menjadi ruang sebagai bilik mesyuarat bapanya.
Tiada lagi waktu santai bersama keluarga atau sesi makan tanpa soalan tentang pekerjaan.
"Ruang tamu tempat kami sekeluarga tengok televisyen pun jadi bilik mesyuarat kami.
"Sampai ada satu hari saya menangis sambil beritahu ayah yang ini bukan lagi rumah.
"Saya tak nampak ayah saya sebagai seorang 'ayah'. Setiap hari saya rasa dia hanya seperti majikan," luahnya.

Antara rekaan dan koleksi Dr Cardin yang diminati ramai. — Dr Cardin
Situasi itu bagaimanapun secara perlahan dapat ditangani selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihentikan.
Namun, ia tetap menjadikannya sebagai pengajaran buat Charl Yee sebagai individu yang menguruskan sebuah perniagaan besar.
"Disebabkan ini kita semua belajar untuk menyesuaikan diri terhadap situasi tidak dijangka.
"Bila kita lihat secara positif, ia membuatkan kami seluruh keluarga lebih kuat," ujarnya.
Sedia tembusi pasaran besar
Kini menampilkan rekaan lebih segar dan selesa, Charl Yee berkata, siri The Origin Heritage menjadi antara yang paling diminati ramai.
Rekaannya khusus menyasarkan golongan muda yang mahukan gaya yang kasual dan ringkas tetapi eksklusif.
Dalam strategi pemasarannya, Charl Yee mengakui jumlah pelaburannya mencecah RM1 juta hingga RM2 juta setahun, bergantung pada skala kempen dilaksanakan.

Cawangan butik Dr Cardin yang kini dibuka di seluruh Malaysia. — Dr Cardin
"Kami juga ada perancangan untuk luaskan lagi rangkaian jenama kami di luar negara, mungkin di Indonesia dan Thailand.
"Tetapi, kami belum bersedia untuk buka tawaran francais sebab tak mahu kualiti produk 'lari'.
"Model perniagaan ini perlu dikaji semula dengan teratur sebelum kita buka peluang," ungkapnya.
Ditanya pula perancangan memasuki tahun baharu tidak lama lagi, Charl Yee memberitahu bahawa pihaknya sedang merancang melakukan kolaborasi bersama jenama baju tempatan popular iaitu Bulan Bintang untuk koleksi sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Setakat ini, Dr Cardin membangunkan kasut, beg dan berkemungkinan bakal meluaskan rangkaian produk kepada pakaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
