PENGUSAHA perniagaan makanan skala kecil dan sederhana kini berdepan satu lagi cabaran dalam memastikan kepatuhan halal bukan hanya pada bahan masakan, tetapi juga pada kertas pembungkus makanan yang digunakan setiap hari.
Isu itu hangat diperkatakan apabila beberapa kajian antarabangsa mendedahkan bahawa sebahagian kertas pembungkus mungkin mengandungi bahan berasaskan haiwan seperti gelatin dan tallow (lemak haiwan), selain penggunaan pelekat protein dan coating yang tidak memiliki pensijilan halal.
Bagi peniaga, hal itu menimbulkan persoalan sama ada pembungkus harian seperti kertas gorengan, kertas pembungkus nasi serta kertas pembalut burger benar-benar selamat dari sudut syarak.
BACA LAGI: Peniaga Melayu dilabel malas, pengusaha 'street kitchen' tampil pertahan golongan usahawan kecil
BACA LAGI: 'Bumbung bocor, solar hidup segan mati tak mahu', peniaga sedih MyKiosk kurang praktikal
Berdasarkan perkongsian perunding halal terkenal Indonesia, Aisha Maharani, peniaga perlu memberi perhatian kepada pembungkusan agar ia suci dan bebas najis.
Katanya, kajian oleh Talib & Johan (2012) serta Hussain (2021), pembungkus makanan berisiko mengandungi bahan berasaskan haiwan seperti gelatin dan lemak haiwan.
"Beri perhatian kepada coating dan sizing agent (pelekat permukaan) yang digunakan untuk menjadikan kertas tahan minyak boleh diperbuat daripada gelatin babi.
"Selain itu ialah, coating wax atau laminasi berasaskan protein haiwan dan dakwat pencetak yang mungkin mengandungi alkohol sebagai pelarut.
"Awasi juga kontaminasi atau pencemaran silang di kilang pemprosesan bahan pembungkus," katanya.
Bagi peniaga Muslim, memastikan kebersihan dan kehalalan bukan sekadar tuntutan undang-undang, malah tanggungjawab agama supaya tidak menimbulkan syubhah atau rasa ragu-ragu, was dan syak kepada pelanggan.
Isu berkenaan turut menuntut peniaga lebih berhati-hati dalam memilih pembekal kerana selain mencari alternatif yang tidak membebankan kos, mereka pada masa sama harus peka soal halal.
Dalam era di mana kepercayaan pelanggan menjadi aset utama, pemilihan kertas pembungkus halal bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan strategik untuk kelangsungan perniagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
