PENGUSAHA OG Street Kitchen, Ozzie Manan, tampil mempertahankan peniaga Melayu yang sering dilabel sebagai 'malas' apabila premis mereka kerap tutup atau tidak beroperasi.
Menerusi satu perkongsian di Threads, persepsi itu jauh tersasar daripada realiti sebenar yang dihadapi ramai peniaga kecil.
“Sebenarnya peniaga Melayu yang selalu tutup ni bukan sebab malas,” jelas Ozzie.
BACA LAGI: Hab bisnes TRX, Merdeka 118 pacu Kuala Lumpur duduki tangga ke-50 Bandar Terbaik Dunia 2026
Katanya, kebanyakan peniaga berdepan tekanan hidup, kekangan modal dan urusan keluarga yang mendesak.
Antara sebab yang kerap berlaku ialah hilang motivasi akibat ketiadaan jualan, ahli keluarga sakit dan memerlukan perhatian dan ingin membaiki sistem operasi perniagaan.
Mereka juga mungkin kekurangan modal pusingan, perlu luangkan masa dengan keluarga atau boleh jadi terikat dengan urusan penting
“Ini orang dah biasa cakap peniaga Melayu malas,” tambah Ozzie, menyifatkan stigma itu sebagai tidak adil dan meremehkan perjuangan peniaga kecil.
Seorang lagi peniaga, Puteri Madya Zarira, turut bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Dia berkongsi pengalaman terpaksa menutup perniagaan selama lima hari selepas stafnya tiba-tiba berhenti.
“Kami niaga tepi jalan, perempuan pula. Kalau seorang diri memang tak mampu nak 'handle' bisnes,” katanya.
Pengusaha Dendeng Bakar turut menyatakan sokongan, mengatakan ramai orang hanya menilai dari luar tanpa memahami tekanan sebenar peniaga.
“Terima kasih. Finally someone said it. Ramai tak fikir tu, ramai hanya nampak luaran,” tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi usahawan, TukangKayu20, mendedahkan situasi yang pernah dialaminya ketika mengusahakan bengkel kayu dan kedai makan.
“Isteri mengandung, tak dapat nak bantu. Mak pula kena jalani kemoterapi. Pada masa sama, pekerja buat hal. Tapi akhirnya orang cakap kita main-main. Biasalah Melayu, mental kejap,” katanya sambil mengakui tekanan itu pernah membuatnya hampir berputus asa.
Perkongsian para pengusaha ini membuka ruang perbincangan lebih luas mengenai cabaran sebenar yang dihadapi peniaga kecil iaitu daripada masalah pekerja, operasi, kewangan, sehinggalah isu kesihatan keluarga.
Mereka berharap masyarakat lebih memahami sebelum melabel peniaga sebagai malas atau tidak serius.
Fenomena itu juga mencerminkan keperluan sokongan mental, kewangan dan sistematik kepada peniaga kecil agar mereka lebih berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
