DUA remaja lelaki yang ditahan polis selepas menunggang basikal lajak secara berbahaya sehingga hampir merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada Khamis lalu dilepaskan selepas keterangan mereka diambil.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada pukul 5 petang, Ahad sebelum dilepaskan kira-kira pukul 2 pagi Isnin.
Remaja berusia 14 dan 15 tahun itu mendakwa mereka tidak sedar lampu isyarat sedang merah ketika menunggang basikal lajak terbabit di lokasi kejadian.
BACA LAGI: Tragedi 2 sahabat lepas makan roti canai isyarat jelas perlunya perketat had laju kawasan kampung
BACA LAGI: Pengaruh rakan punca remaja tertarik sertai geng basikal lajak
“Kedua-duanya tidak cedera dan tidak berlaku kerosakan terhadap kenderaan lain. Ibu bapa mereka sudah dipanggil, diambil keterangan dan diberi nasihat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Azlan berkata, empat keterangan sudah direkodkan setakat ini membabitkan kedua-dua remaja dan ibu bapa mereka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas keputusan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Terdahulu, media melaporkan dua remaja lelaki ditahan polis selepas menunggang basikal lajak secara berbahaya sehingga hampir merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights, Khamis lalu.
Wan Azlan berkata, satu laporan polis dibuat pada pukul 5.13 petang Ahad berkaitan satu video tular di media sosial membabitkan dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya.
Siasatan awal mendapati kejadian pukul 5.55 petang pada Khamis lalu, yang mana remaja terbabit dari arah Persiaran Putra Perdana ke arah Kampung Tengah dilihat menunggang secara berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
