[VIDEO] ‘Pergi di hari yang baik’, lelaki maut terbabit nahas dalam perjalanan tunaikan solat Jumaat di Hulu Langat


  • Tular
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Tangkapan layar menunjukkan detik sebelum insiden menyayat hati itu berlaku.

KEMALANGAN membabitkan seorang lelaki di persimpangan pasar pagi Pekan Batu 14, Hulu Langat mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman dashcam kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.

Dalam video berdurasi satu minit itu, mangsa difahamkan dalam perjalanan menuju ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat sebelum insiden tidak dijangka berlaku.

Rakaman menunjukkan lelaki berkenaan sedang menunggang motosikal secara berhati-hati sebelum sebuah motosikal lain datang meluru dari arah belakang dan merempuhnya.

BACA LAGI: Nafuzi 'berpeluh', 3 kelab enggan lepas pemain utama harung Sukan SEA

BACA LAGI: Diangkat sebagai titik kebangkitan Sabah, Kim Swee antara ikon Sang Badak kenang jasa Bung Moktar

Lebih mengejutkan, dua individu yang menunggang motosikal tersebut dipercayai pelajar perempuan dan didapati tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan terbaring di atas jalan raya, namun pelajar terbabit dilihat terus berlalu pergi tanpa berhenti untuk membantu atau memeriksa keadaannya.

Tindakan melarikan diri tanpa rasa tanggungjawab itu mencetuskan kecaman warga maya yang menyifatkan perbuatan mereka sebagai berbahaya, cuai dan tidak berperikemanusiaan.

Beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian dilaporkan cuba membantu mangsa yang mengalami kecederaan selepas terjatuh, sementara pelajar terbabit terus menghilangkan diri.

Kejadian difahamkan berlaku di Pekan Batu 14, Hulu Langat, Selangor dan orang ramai kini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang dirakam jelas dalam video tular tersebut.

Setakat ini, tiada sebarang laporan dikeluarkan berhubung kes itu dengan orang ramai masih cuba mengetahui keadaan sebenar mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram