'Kotor 10 saat, tapi sakit 10 hari', silap cara pengendalian boleh undang keracunan makanan


  • Bisnes
  • Isnin, 01 Dis 2025

Suntikan tifoid penting bukan saja kepada peniaga makanan malah turut membabitkan pengusaha taska. — Threads/ Zinnirah

RAMAI beranggapan hanya peniaga makanan di pasar malam atau restoran yang perlu mengambil suntikan tifoid. Hakikatnya, pengusaha taska dan sesiapa sahaja yang mengendalikan makanan untuk orang lain turut termasuk dalam keperluan tersebut.

Menurut penyedia kursus pengendalian makanan, @zinnirah, kebersihan makanan bukan sekadar soal rutin, tetapi tanggungjawab besar yang memberi kesan terus kepada kesihatan masyarakat.

“Makanan bukan sekadar rezeki ia amanah,” katanya.

BACA LAGI: Kunci jam 4 pagi nak balas mesej pelanggan, 2 beradik jana pendapatan RM9.5 juta setahun usahakan bisnes Repair.sg

BACA LAGI: Kerja naik taraf tak siap, pasar tamu Gum Gum makin sunyi, peniaga pula kian terhimpit

Menurutnya, setiap kali seseorang menjual atau menyediakan makanan, mereka bukan hanya menawarkan rasa, tetapi perlu menitikberatkan soal kesihatan.

"Silap suhu, salah cara simpan atau sedikit kecuaian kebersihan boleh membawa mudarat kepada orang lain.

"Bahaya datang daripada perkara kecil yang selalu ramai terlepas pandang," katanya.

Jelasnya, walaupun tempat dan peralatan nampak bersih, banyak kesilapan lazim berlaku tanpa disedari.

Ini termasuk tangan tidak dibasuh dengan betul, bahan mentah bercampur dengan bahan masak, sinki tidak dibersihkan secara konsisten dan penyimpanan pada suhu yang salah.

“Kotor bagi 10 saat, tapi kesannya boleh berpanjangan hingga 10 hari,” katanya.

Kesilapan kecil sedemikian boleh membawa kepada pembiakan bakteria berbahaya seperti Salmonella, E.coli dan Staphylococcus yang menjadi punca keracunan makanan.

Keadaan itu boleh menyebabkan muntah, cirit-birit sehingga memerlukan rawatan di hospital.

Antara aspek paling kritikal ialah suhu penyimpanan yang mana bahan mentah seperti ayam, daging, susu, nasi dan mi semuanya mempunyai zon bahaya.

"Jika dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik, bakteria membiak walaupun makanan kelihatan dan berbau normal.

“Orang makan elok-elok (tapi) malam muntah cirit-birit. Itulah bahaya yang mata tak nampak," katanya.

Selain cirit-birit, simptom lain seperti demam, muntah dan dehydration boleh berlaku, terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai imuniti rendah.

Zinnirah menegaskan bahawa pelanggan membayar bukan sekadar untuk kenyang, tetapi untuk keselamatan.

"Orang beli makanan sebab percaya kita jaga kebersihan. Apabila mereka keracunan makanan, reputasi perniagaan boleh jatuh, bisnes berisiko kehilangan pelanggan bahkan lebih buruk lagi, ia akan mengakibatkan kerugian dan penutupan operasi," jelasnya.

Oleh itu, konsistensi menjaga kebersihan menjadi faktor penting mengekalkan kepercayaan pelanggan.

Antara perkara yang pelanggan kini lebih peka termasuklah kedai yang bersih, pengendali makanan memakai sarung tangan, rambut ditutup, meja tidak comot dan sinki tidak berbau.

Kebersihan yang baik dan konsisten menjadikan pelanggan lebih yakin dan setia. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram