Dihalau dari kafe kerana anak autistik buat bunyi batuk, Che Nom kongsi pengalaman bercuti di Switzerland


  • Bonda
  • Khamis, 04 Dis 2025

Che Nom berkongsi pengalaman dihalau dari sebuah kafe di Lauterbrunnen, Switzerland hanya kerana anaknya yang autistik membuat motor tics.

PENGALAMAN yang sepatutnya manis ketika melancong di Switzerland bertukar menjadi memori tidak menyenangkan buat YouTuber masakan, Che Nom apabila beliau dan anaknya dihalau dari sebuah kafe di Lauterbrunnen hanya kerana anaknya yang autistik membuat motor tics.

Che Nom berkata, insiden itu berlaku ketika mereka singgah di sebuah kafe kecil berhampiran stesen kereta api untuk berehat dan menikmati minuman panas. 

Anak Che Nom yang menghidap Autisme Spektrum (ASD) tiba-tiba membuat satu bentuk motor tics, iaitu bunyi yang biasa berlaku kepada anak austisme dan tidak berbahaya.

BACA LAGI: Dari bilik jenazah: Sukarelawan dedah kisah isteri dizalimi suami hingga dijangkiti HIV

BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

Namun, pemilik kafe berkenaan terus menghampiri dengan wajah tegang sebelum menuduh keluarga itu membawa penyakit.

“Awak sakit. Awak sedang menyebarkan virus. Tolong keluar,” katanya.

Che Nom dan suami segera menerangkan bahawa anak mereka tidak sakit dan bunyi itu adalah motor tics yang tidak dapat dikawal. 

Namun, penjelasan itu langsung tidak dipedulikan, dan mereka tetap diarahkan keluar.

Anak Che Nom pula terpinga-pinga, tidak memahami mengapa dia diminta meninggalkan tempat itu.

Keluarga tersebut memilih untuk beredar tanpa mencetuskan sebarang pertikaian.

Che Nom turut mendedahkan bahawa pengalaman serupa pernah dialami pelancong lain dengan pemilik kafe yang sama, menunjukkan ia bukan insiden terpencil. 

Hantaran Che Nom itu mendapat perhatian ramai warga maya, terutama ibu bapa yang mempunyai anak dengan tics atau autisme.

"Anak saya juga ada motor dan vocal tics. Dari umur 8 tahun sampai sekarang tingkatan 2. Alhamdulillah anak yang sangat mudah dijaga dan menyenangkan hati. Mudah-mudahan anak Che Nom dan semua anak syurga dipelihara ALLAH," kata Fam Ben

“Pengalaman hampir sama, kena sound direct dengan penumpang Swiss sebab anak batuk. Masa tu dalam tren, bukan kerana sakit. Anak kadang batuk kecil sebab sejuk," kata Hetty Helmi

Tidak semua pengalaman negatif, ada yang positif juga.

"Alhamdulillah, tahun lepas semasa saya dan suami berjalan ke Corippo, sebuah kampung purbakala di Swiss, terjumpa orang Swiss yang baik dan peramah, ajak kami masuk rumah dan buat tour dalam rumah," kata Azmawati Abdul Aziz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram