Main sorok-sorok berakhir tragedi, remaja 14 tahun maut ditembak rakan guna bakakuk


  • Kes
  • Isnin, 08 Dis 2025

Suspek menunjukkan lokasi di mana mangsa ditembak ketika bermain sorok-sorok. — PDRM

KESERONOKAN dua sahabat bergurau bertukar tragedi selepas salah seorang daripadanya meninggal dunia selepas ditembak secara tidak sengaja di perkarangan sebuah rumah dalam bekas kem perumahan polis di Keningau, Sabah pada Ahad.

Menurut laporan, mangsa berusia 14 tahun itu sedang bermain sorok-sorok bersama seorang rakan yang secara tidak sengaja melepaskan tembakan daripada selaras senapang patah buatan sendiri dari jarak tiga meter.

Ketua Polis Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa mengalami kecederaan daripada 14 kesan tembakan dan dibawa ke Hospital Keningau oleh orang kampung sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di unit kecemasan.

BACA LAGI: Dewan Rakyat: Keningau hub pendidikan di Sabah — Fadlina

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kau rajin iktikaf’, sahabat doakan staf SESB hanyut ketika bertugas di Keningau selamat

Bakakuk merupakan senjata api buatan sendiri yang kerap digunakan sekitar Sabah. Gambar hiasan

Siasatan awal mendapati rakannya yang juga berusia 14 tahun ternampak mangsa memegang senjata api yang turut dikenali sebagai bakakuk itu di hadapan rumah berkenaan dan memintanya.

"Ketika bermain sorok-sorok, mangsa menyorok di bawah rumah itu dan rakannya dipercayai secara tidak sengaja menarik picu dan melepaskan tembakan.

"Rakan kepada mangsa berubah panik dan meminta pertolongan daripada penduduk kampung yang berhampiran," katanya.

Tambah Yamil lagi, bedah siasatan yang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth mendapati kecederaan berlaku di tubuh, lengan dan lutut mangsa.

Pasukan penyiasat turut mendapati selepas insiden berlaku, adik kepada suspek yang berusia 13 tahun menyorok dengan bakakuk tersebut yang kepunyaan bapa mereka.

"Ketiga-tiga ahli keluarga sudah ditahan bagi membantu siasatan," katanya sambil menyatakan mangsa merupakan rakan baik suspek dan sering menetap di kediaman mereka.

Susulan insiden itu, polis sudah merampas senapang patah berkenaan, peluru, kelongsong terpakai, pakaian suspek serta dua biji telefon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram