Budak lelaki 11 tahun terselamat disengat 400 ekor lebah lepas serap ‘aura’ Vegeta


  • Benua
  • Ahad, 30 Nov 2025

Ketika ditemui, kanak-kanak sedang bertarung nyawa akibat disengat ratusan kali.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Safford, Arizona, Amerika Syarikat menjadi perhatian dunia pada 2017 selepas terselamat secara ajaib daripada serangan kira-kira 400 ekor lebah Afrika dalam satu kejadian luar biasa yang kini kembali tular sejak Ahad.

Imbauan kisah yang berlaku pada 2017 itu kembali tular selepas laman Facebook, Daily Dose of Anime mengimbau kembali detik mendebarkan berkenaan.

Mangsa, Andrew Kunz, ketika itu berusia 11 tahun bersama seorang rakannya dikatakan sedang menembak pistol BB ke arah sebuah kereta terbiar tanpa menyedari bahawa kenderaan tersebut menjadi sarang kumpulan lebah madu Afrika yang terkenal agresif.

BACA LAGI: Hanya kerana tumbler RM75, petugas keselamatan tren dipecat lepas wanita tuduh tak amanah

BACA LAGI: [VIDEO] Demi keselamatan anak, ibu bapa sanggup letak bayi dalam kotak plastik harung banjir di Indonesia

Menurut laporan Comic Book, lebah-lebah itu terus menjadi marah sebaik sahaja terdengar bunyi tembakan dan merasai getaran pada kereta berkenaan.

Dalam keadaan cemas itu, Kunz diselamatkan oleh Ketua Bomba Safford, Clark Bingham yang bergegas ke lokasi bersama anggota kecemasan lain selepas menerima panggilan daripada nenek mangsa.

Berdasarkan laporan media pada 2017, ketika ditemui, kanak-kanak sedang bertarung nyawa akibat disengat ratusan kali.

“Andrew cuba berlari naik bukit untuk melarikan diri tetapi lebah-lebah itu tidak berhenti menyerangnya. Dia akhirnya berguling turun dan melindungi dirinya dalam posisi janin,” kata neneknya, Petrea Kunz kepada media.

Walaupun mengalami kesakitan luar biasa, Andrew dikatakan mengaktifkan mod ‘Super Saiyan’ dan meniru karakter kegemarannya, Vegeta dari Dragon Ball Z, bagi memberi kekuatan mental untuk terus bertahan.

“Saya Andrew, tapi kamu boleh panggil saya Vegeta,” katanya kepada wartawan tempatan ketika dirawat di hospital dengan ubat benadryl dan steroid.

Kejadian itu bukan serangan pertama yang dialami Andrew memandangkan ketika tadika, dia juga pernah disengat lebih 90 kali oleh semut, dan doktor kemudian mengesahkan bahawa dia alah terhadap mana-mana serangga yang menyengat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram