'Macam konvo universiti', majlis graduasi PASTI dipuji tersusun, 'perfect'


  • Massa
  • Isnin, 08 Dis 2025

Majlis sedemikian membuatkan orang ramai tertarik untuk menghantar anak masing-masing ke tadikan berkenaan.

KITA sering menyaksikan bagaimana penuntut universiti akan diraikan dengan cukup meriah setiap kali majlis konvokesyen bagi meraikan penamatan pengajian masing-masing.

Selain kejayaan masing-masing diabadikan di atas pentas, graduan turut disajikan persembahan yang pastinya akan menjadi memori cukup indah selepas menamatkan pengajian.

Tidak cukup dengan itu, jubah graduasi serta aksesori lain yang dikenakan turut membawa makna tersendiri, termasuk sebagai simbolik kecekalan dan usaha sepanjang berada di menara gading.

BACA LAGI: Budak lelaki 11 tahun terselamat disengat 400 ekor lebah lepas serap ‘aura’ Vegeta

BACA LAGI: Gigi Hadid jadi guru ganti, ajar kanak-kanak beraksi persis model ‘catwalk’

Keraian gilang-gemilang itu kelihatan mula dicontohi pelbagai institut pendidikan yang lain, termasuk di tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) hampir seluruh negara.

Majlis sedemikian dikongsikan ibu bapa di media sosial yang gembira menyaksikan anak masing-masing menamatkan pengajian dan disambut secara meriah.

Ini termasuk hantaran dari pengguna Threads, Fazua Isa baru-baru ini memaparkan cahaya matanya diraikan secara gilang-gemilang dalam istiadat konvokesyen diadakan pada Sabtu lalu.

Dalam hantaran dikongsikan, pemilik akaun itu memuat naik beberapa video sempat dirakam, termasuk ketika anaknya berada di atas pentas dan menerima skrol.

Kanak-kanak itu turut mengenakan jubah seperti mana disarung penuntut universiti, sekali gus menceritakan bagaimana majlis terbabit dibuat serba lengkap.

Pengguna Threads yang difahamkan ibu kepada kanak-kanak terbabit turut sempat menzahirkan penghargaan buat pengurusan PASTI Hulu Langat atas majlis berkenaan.

Berdasarkan semakan di laman media sosial lain, majlis graduasi menjadi satu kebiasaan bagi murid di PASTI yang pasti akan menjadi penyuntik semangat bagi kejayaan dalam dunia akademik.

Malah, secara tidak langsung, perkongsian sebegitu turut membakar semangat buat ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing bagi menikmati suasana sebegitu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram