BILANGAN pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak mencatatkan penurunan tahun lalu meskipun permintaan terus meningkat, susulan pengusaha berdepan tekanan kos operasi yang tinggi, kekurangan tenaga kerja serta kerenah birokrasi.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penurunan sebanyak 11% di Kuala Lumpur pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada 218 kepada 193 pusat jagaan.
Putrajaya dan Perak masing-masing mencatatkan penurunan 21%, dengan Putrajaya berkurang daripada 62 kepada 49 pusat, manakala Perak jatuh daripada 245 kepada 194.
BACA LAGI: Jangan keliru, kenal pasti perbezaan tabika, tadika, taska sebelum daftar anak
Walaupun bilangan pusat jagaan kanak-kanak di ketiga-tiga kawasan itu berkurang, jumlah kanak-kanak yang mendaftar meningkat 8% di Kuala Lumpur, 10% di Putrajaya dan 33% di Perak, mencerminkan peningkatan permintaan.
Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Labuan turut mencatatkan penurunan bilangan pusat jagaan kanak-kanak, namun pendaftaran kanak-kanak di negeri-negeri ini juga menurun.

Pertumbuhan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar mengikut negeri.
Menurut laporan Children’s Statistics Malaysia 2025 terbitan DOSM, di peringkat nasional menunjukkan jumlah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar meningkat 1.3% kepada 3,198 pada 2024.
Malaysia kini mempunyai 2.3 juta kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah, dan para pemain industri menganggarkan negara memerlukan sekurang-kurangnya 40,000 hingga 50,000 pusat jagaan kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengasuh dan Pembangunan Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah berkata, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan kira-kira 10% pusat jagaan berdaftar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak terpaksa ditutup.
Menurutnya, trend penutupan berkenaan menunjukkan tekanan semakin meningkat terhadap para pengusaha.

Peratusan penduduk berumur 0–4 tahun mengikut negeri.
Ramai pengusaha kini hampir tidak mampu menampung peningkatan mendadak kos sewa, utiliti dan makanan, selain piawaian pematuhan keselamatan serta kesihatan yang semakin ketat.
Faktor-faktor inilah yang menyebabkan pusat jagaan berskala kecil sukar untuk kekal berdaya maju.
Menurut Norsheila, banyak pusat jagaan komuniti atau berasaskan tempat kerja diserahkan kepada pengusaha swasta, yang perlu membayar kadar sewa tinggi ditetapkan oleh jabatan dan kementerian berkaitan.
"Ini membebankan pengusaha swasta, yang pada masa sama dijangka mengenakan yuran bulanan rendah dan memenuhi keperluan gaji minimum untuk pengasuh," katanya.
Norsheila berkata, peraturan pelesenan dan keselamatan yang ketat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sememangnya penting, namun pusat kecil berdepan beban pentadbiran dan kos pematuhan yang berat.
Beliau berkata, penyelarasan peraturan antara kerajaan negeri dan persekutuan serta pelaksanaan sistem pemeriksaan bersama dapat membantu mengekalkan kualiti tanpa membebankan pengusaha.
Beliau juga mengingatkan bahawa jurang antara permintaan jagaan kanak-kanak dan kapasiti sedia ada boleh menyebabkan kenaikan yuran.
Keadaan itu boleh mengurangkan akses bagi keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, sekali gus mendorong ibu bapa memilih pusat jagaan tidak formal atau tidak berdaftar yang kekurangan standard keselamatan.
Norsheila menggesa kerjasama lebih kukuh antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi menggalakkan pembukaan pusat jagaan komuniti dan berasaskan tempat kerja, disokong oleh potongan cukai, subsidi sewa dan penggunaan bangunan awam yang kurang digunakan.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan standard gaji minimum untuk pendidik awal kanak-kanak, disesuaikan dengan kelayakan mereka.
Selain itu, beliau mengesyorkan peluasan latihan melalui institusi TVET dan universiti, serta memperbesarkan skim bantuan yuran atau baucar penjagaan kanak-kanak untuk keluarga B40 dan M40.
Norsheila berkata, reformasi digital dan pentadbiran termasuk pangkalan data jagaan kanak-kanak bersepadu dan sistem pelesenan atas talian yang dipermudah di bawah JKM dapat memudahkan operasi pusat jagaan.
Ketua cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan Persatuan Tadika Islam, Siti Ruzita Ramli berkata, kos operasi dan kekurangan tenaga pengajar bertauliah terus menekan pengusaha pusat jagaan.
"Ketika ini, ramai pusat bergelut mengekalkan kualiti sambil menanggung kos sewa yang meningkat, kenaikan gaji minimum yang kini RM1,800, makanan dan bahan pembelajaran," jelasnya.
Siti Ruzita berkata, semakin sukar untuk mengekalkan guru yang bersemangat akibat beban kerja tinggi dan gaji rendah.
"Universiti boleh memainkan peranan dengan menyediakan peluang kerja dan latihan berdasarkan konsep ‘place and train’, bagi mengurangkan beban gaji tinggi kepada majikan," ujarnya.
Presiden Persatuan Guru Prasekolah Pulau Pinang, Sally Ng Chit Peng berkata, peningkatan kos sara hidup di negeri itu memburukkan lagi situasi pengusaha pusat jagaan.
"Kos sara hidup di Pulau Pinang meningkat dengan ketara, termasuk kos sewa, utiliti, makanan dan gaji," katanya.
Chit Peng berkata, kekurangan penjaga masih menjadi isu besar kerana gaji rendah dan peluang kerjaya yang terhad menyukarkan usaha menarik serta mengekalkan pekerja.
Beliau turut menggesa kelonggaran dalam pelesenan bagi membantu pengusaha mengurus kos.
"Benarkan satu bangunan beroperasi sebagai pusat jagaan kanak-kanak (taska) dan prasekolah (tadika) dengan dwi lesen.
"Konsep dwi lesen dapat menjimatkan ruang dan mengurangkan kos operasi,” katanya.
Chit Peng menjelaskan bahawa di bawah peraturan semasa, kedua-duanya mesti beroperasi secara berasingan. — The Star/DIYANA PFORDTE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
