JANGAN sesekali menganggap anak berusia lima tahun tidak memahami apa-apa tentang perpisahan ibu bapa.
Hakikatnya, mereka bukan sahaja peka terhadap perubahan, namun cukup bijak membaca situasi lebih daripada yang dijangka.
Itulah dibuktikan oleh seorang peguam bela, Siti Hajar Aisyah apabila berkongsi kisah perjalanan hidupnya membesarkan anak tunggal, Muhammad Adam tanpa kehadiran seorang bapa sejak usia setahun.
BACA LAGI: 'Alhamdullilah', Alyssa, Al bakal timang anak sulung, Maia Estianty ingin cucu panggil 'Oma Bunda'

Anak kecil sebenarnya memahami apabila ibu bapa berpisah. — Gambar Hiasan
Perkahwinan selama sembilan tahun akhirnya berakhir dan anak yang hadir lewat dalam rumah tangga itu membesar tanpa figura ayah sejak kecil.
Apabila Adam memasuki tadika, rasa ingin tahunya semakin menebal. Menurut Siti Hajar Aisyah, soalan-soalan anak kecil itu muncul di kepala.
“Dia mula tanya pasal papa… kerja apa, muka macam mana. Adam memang tak pernah ingat papa dia sebab masa berpisah tu dia baru setahun,” katanya.
Sebagai ibu, Siti Hajar Aisyah memilih untuk bersikap jujur namun berhati-hati dalam menerangkan situasi rumah tangga mereka.
“Saya cerita ikut bahasa yang dia faham. Saya tunjuk gambar dan video masa dia baby, masa papa dia masih ada. Saya cuma kata mama dan papa tak kawan. Tetapi kalau Adam nak kawan papa, mama boleh telefon,” jelasnya.
Walaupun begitu, Adam tidak pernah menunjukkan minat untuk bertemu bapanya. Dia hanya bertanya untuk memenuhi rasa ingin tahu.
“Setiap kali saya tanya nak jumpa papa, dia akan kata tak nak. Dia cuma nak tahu saja,” kata Siti.
Namun segalanya berubah pada satu hari ketika mereka secara kebetulan melalui kawasan rumah bekas suaminya.
“Saya tunjuk rumah tu dan tanya macam biasa. Dalam kepala saya, dia confirm akan jawab tak nak. Sekali dia jawab ‘nak, mama’. Terus buka pintu kereta! Masa tu saya memang terkejut,” katanya sambil mengakui hatinya berdebar.
Bimbang anaknya pergi seorang diri, Siti Hajar Aisyah segera mengejar.
“Dah lama tak jumpa. Nafkah tak bagi. Khabar anak pun tak tanya. Mestilah saya nervous,” katanya.
Siti Hajar Aisyah berkata, pertemuan antara Adam dan bapanya berlaku sekejap sahaja.
“Semua jadi dalam 60 saat je. Adam tengok papa dia, lepas tu dia terus pusing dan cakap ‘bye papa, Adam nak ikut mama’,” ceritanya.
Sejak hari itu, sifat ingin tahu Adam terus lenyap.
“Lepas kejadian tu, dia dah tak tanya pasal papa langsung. Bila saya tanya nak jumpa lagi, dia jawab tak nak. Lega juga hati saya,” ujarnya.
Beliau percaya Adam mula memahami keadaan sebenar walaupun usianya baru lima tahun.
“Dia mungkin nampak saya menangis hari tu. Adam faham keluarga dia tak sama macam kawan-kawan tadika. Dan dia tahu dia cuma ada mama,” kata Siti Hajar Aisyah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
