LELAKI yang disyaki membuat ancaman bom palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor pada petang Selasa didapati bertindak demikian semata-mata kerana tidak mahu beg miliknya diganggu rakan.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shariat berkata, kertas siasatan berhubung kejadian telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.
“Suspek direman tiga hari bermula semalam hingga esok, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Individu buat ancaman bom palsu di KLIA ditahan
"Siasatan mendapati tiada motif jenayah. Suspek dipercayai menulis catatan ancaman itu bagi mengelakkan begnya diganggu rakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan seorang individu ditahan selepas membuat ancaman bom palsu melibatkan sebuah penerbangan domestik di KLIA Terminal 1.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menurut Malaysia Airports, insiden itu dikesan pada pukul 5.32 petang Selasa, hanya beberapa minit sebelum pesawat dijadual berlepas.
Situasi itu memaksa pasukan keselamatan mengaktifkan protokol kecemasan dan mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
Pesawat berkenaan kemudian dibenarkan berlepas pada 7.19 malam dengan baki penumpang, selepas penilaian keselamatan menyeluruh dijalankan oleh pasukan Keselamatan Penerbangan, PDRM dan unit pemusnah bom.
Pemeriksaan menyeluruh selesai pada 8.58 malam dan pihak berkuasa mengesahkan kawasan berada dalam keadaan selamat serta ancaman yang diterima adalah palsu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
