BANK-BANK di Malaysia akan menawarkan diskaun ihsan (goodwill discount) bagi penyelesaian awal perjanjian sewa beli kadar tetap sedia ada susulan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) pada Isnin.
Menerusi kenyataan bersama pada Selasa, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) memaklumkan bahawa inisiatif kolektif itu bertujuan menyokong pelanggan terjejas menjelang pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) [HPAA].
Persatuan-persatuan itu berkata, diskaun ihsan berkenaan akan diberikan ketika penyelesaian awal dibuat bagi kontrak sewa beli kadar tetap sedia ada, termasuk yang dikira menggunakan kaedah Rule of 78.
BACA LAGI: Kad Touch ‘n Go tamat tempoh? Ramai tak tahu rupanya masih boleh 'refund' baki
“Di bawah HPAA, kadar rata dan kaedah Rule of 78 akan dimansuhkan untuk pelanggan baharu, menandakan perubahan besar dalam kaedah pengiraan pembiayaan sewa beli.
“Bagi memastikan pelanggan yang menandatangani perjanjian sebelum HPAA atau dalam tempoh kelonggaran diberi layanan adil, industri perbankan akan menawarkan diskaun ihsan bagi penyelesaian awal perjanjian sewa beli kadar tetap ini,” katanya.
Pihak bank berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen industri dalam memastikan pelanggan berasa disokong dan dihargai sepanjang tempoh peralihan.
“Diskaun ihsan ini merupakan langkah menyeluruh industri untuk menyediakan layanan yang hampir setara kepada pelanggan terjejas seperti mana yang bakal dinikmati pelanggan baharu di bawah kerangka baharu," katanya.
Program diskaun ihsan itu akan bermula sebaik HPAA berkuat kuasa, yang dijangka pada suku pertama 2026.
“Industri perbankan akan memaklumkan kepada orang ramai sebaik HPAA dikuatkuasakan,” menurut kenyataan itu.
Persatuan-persatuan itu turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM) atas usaha memacu pembaharuan ke arah meningkatkan keadilan dan ketelusan dalam pembiayaan sewa beli.
“Kepimpinan dan pendekatan kolaboratif mereka telah membuka jalan kepada rangka kerja lebih saksama yang memberi manfaat kepada pengguna serta mengukuhkan kepercayaan terhadap sistem kewangan," katanya.
Mereka turut menjelaskan pelanggan yang terus membuat bayaran mengikut jadual sehingga tamat tempoh tidak akan terjejas oleh kaedah Rule of 78.
“Sehubungan itu, pelanggan boleh meneruskan bayaran ansuran seperti dipersetujui dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan.
“Sebaik HPAA berkuat kuasa, pelanggan digalakkan melayari laman web rasmi bank atau mengunjungi cawangan untuk maklumat lanjut.
"Mereka juga digalakkan menghubungi bank masing-masing bagi panduan mengenai kelayakan serta prosedur permohonan diskaun ihsan, dan mengikuti pemakluman daripada persatuan industri,” tambah kenyataan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
