Macam drama! Rangka budak lelaki ditemui lepas 8 bulan hilang, bapa tiri bantu operasi mencari, rupanya 'dalang'


  • Bonda
  • Isnin, 24 Nov 2025

Datuk mangsa, Tugimin memegang foto Alvaro yang hilang selama lapan bulan sebelum ditemukan meninggal dunia. — Agensi

BAPA tiri kepada kanak-kanak bernama Alvaro Kiano Nugroho, AI, dikatakan beberapa kali membantu operasi mencari dan menyelamat budak berusia enam tahun itu dalam tempoh lapan bulan kehilangannya.

Bahkan, AI turut menemani datuk mangsa, Tugimin ke Bogor, Jawa Barat, sehingga larut malam.

"Bapa tirinya turut serta mencari. Contohnya, dia kata, ‘Pak, saya nak pergi ke Bogor. Saya dengar ada maklumat di sana. 

"Kami mencari sepanjang Jalan Raya Bogor sehingga ke terminal dan stesen, lalu malam baru pulang,” kata Tugimin ketika ditemui agensi pada Ahad.

BACA LAGI: Lepas ayah kahwin lain, mak jadi sunyi hingga 'makan diri', anak tekad berubah, kini ibu kembali senyum

BACA LAGI: Vernakular hingga 'industrial' antara konsep reka bentuk dalaman unik, bangkitkan estetika individualistik

Menurut Tugimin, AI sudah beberapa kali disoal siasat polis, tetapi sentiasa mengelak dan tidak mendedahkan keadaan sebenar Alvaro. 

Tugimin berasa dikhianati apabila mengetahui kebenaran yang disembunyikan bapa tiri mangsa.

"Saya tak sangka. Rupanya kebaikannya itu cuma penutup saja," katanya.

Alvaro akhirnya ditemui di sekitar Sungai Cilalay, Tenjo, Bogor. 

Keberadaan mangsa terbongkar selepas AI ditahan sebagai suspek dan diminta menunjukkan lokasi Alvaro. 

AI kemudian membawa penyiasat ke sungai itu di mana Alvaro ditemui hanya tinggal rangka.

"Jadi akhirnya mereka menemuinya dan diajak ke Tenjo, mungkin untuk mencari lokasi sebenar," tambah Tugimin.

Tugimin mengaku curiga ketika menyerahkan dokumen tambahan untuk siasatan. 

Ketika itu, beliau terdengar penyiasat berbisik bahawa penculik cucunya berada di Ibu Pejabat Polis Jakarta Selatan. 

Beliau bertanya kepada penyiasat, tetapi belum mendapat jawapan pasti bahawa AI adalah pelaku sebenar.

"Saya mengesyaki ada perbualan tentang pelaku. Ada yang kata, 'Oh, dia belum tahu,' kemudian diam. 

"Waktu nak balik, saya tanya penyiasat, 'Tuan, pelaku memang ada di sini?' Jawapannya, 'Sudah.' Lepas itu saya balik," jelas Tugimin.

Sebelum ini, polis menahan seorang suspek selepas kanak-kanak lelaki, Alvaro dari Pesanggrahan, Jakarta Selatan yang hilang sejak Mac lalu ditemui meninggal dunia.

"Alvaro sudah ditemui meninggal dunia dan suspek sudah ditahan," kata Ketua Polis Pesanggrahan, AKP Seala Syah Alam kepada agensi pada Ahad.

Bagaimanapun, polis masih belum mendedahkan identiti suspek, kronologi kejadian dan punca kematian Alvaro. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram