JIKA bukan kerana kemurahan hati rakyat Malaysia, Asmah Mansor, 71, kemungkinan masih terperangkap di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Arab Saudi dan tidak akan berpeluang melihat wajah insan tersayangnya di tanah air.
Ketika beliau ditolak masuk dengan katil khas ke Hospital Putrajaya selepas penerbangan perubatan panjang dari Jeddah pada Isnin, keluarganya berkata, mereka masih tidak percaya bahawa Asmah akhirnya berjaya dibawa pulang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menjadi individu pertama menggerakkan usaha membawa pulang Asmah dan menyambut ketibaannya di Putrajaya berkata, penerbangan 10 jam dari Jeddah itu bukan perjalanan mudah buat Asmah.
BACA LAGI: TH utamakan kebajikan bakal jemaah, buka peluang rayuan haji lebih awal mulai 3 November
Sepanjang perjalanan dengan ambulans udara tersebut, kru perubatan memberi rawatan penuh kepada Asmah.
Kos penerbangan itu mencecah RM575,000, dengan separuh jumlah tersebut hasil sumbangan rakyat Malaysia dan selebihnya ditampung oleh Tabung Haji serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Turut hadir menyambut Asmah ialah Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Ketua Bahagian Haji Hisham Harun dan beberapa pegawai kanan MAIWP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. — Facebook
"Saya berterima kasih kepada semua yang tampil membantu membawa pulang Hajah Asmah.
"Awal tahun ini, beliau telah menyempurnakan ibadah haji namun dijangkiti radang paru-paru pada penghujung perjalanan dan dimasukkan ke Hospital Saudi-German.
"Bagaimanapun, keadaannya merosot dan beliau dimasukkan ke ICU, selain situasinya terlalu rumit untuk dibawa pulang dengan penerbangan perubatan biasa.
"Namun, ketika lawatan terakhir saya ke Jeddah bulan ini, saya menziarahinya dan membuat keputusan untuk mengumpulkan dana bagi membawanya pulang ke pangkuan keluarga kerana beliau berada sendirian di sana, meskipun menerima rawatan terbaik.
"Beliau tiba pada pukul 8.15 malam, 24 November, di Subang dan saya mengucapkan terima kasih atas kemurahan hati rakyat Malaysia, selain kerjasama Tabung Haji, pasukan perubatan Arab Saudi, kru Ambulans Udara dan semua pihak yang terlibat dalam misi membawa beliau pulang ke Malaysia.
"Beliau kini dirawat di ICU Hospital Putrajaya dan kepulangannya bukan sekadar misi perubatan, tetapi simbol solidariti rakyat Malaysia," kata Mohd Na’im pada hantaran di laman Facebook.
Sebelum ini dilaporkan, walaupun semua jemaah haji lain telah pulang, beliau masih terkandas di ICU di sana kerana kos membawa pulangnya terlalu tinggi untuk ditanggung keluarga berikutan keperluan perubatan yang rumit.
Dilaporkan bahawa kutipan dana awam berjaya mengumpul RM372,222.66 dan selebihnya ditampung oleh Tabung Haji serta MAIWP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
