SEORANG individu yang membuat ancaman bom palsu membabitkan sebuah penerbangan domestik di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada petang Selasa berjaya ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa insiden itu dikesan pada pukul 5.32 petang Selasa beberapa minit sebelum pesawat dijadual berlepas, sekali gus menyebabkan pasukan keselamatan penerbangan mengaktifkan protokol kecemasan dan memastikan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Tindakan pantas pasukan keselamatan dan kerjasama pihak berkuasa memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses pemeriksaan.
BACA LAGI: Tiada 'fear factor', polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar
“Pesawat berkenaan kemudian dibenarkan berlepas dengan baki penumpang pada pukul 7.19 malam selepas pihak keselamatan penerbangan bersama PDRM dan Unit Pemusnah Bom menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi,” menurut syarikat berkenaan.
Pemeriksaan berakhir pada pukul 8.58 malam apabila pihak berkuasa mengesahkan situasi selamat dan ancaman yang diterima adalah palsu.
Operasi di lapangan terbang turut berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Malaysia Airports pada masa sama mengingatkan orang ramai bahawa mengeluarkan ancaman palsu, termasuk berkaitan bom adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan tegas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
