BANJIR besar yang melanda Aceh, Indonesia berlaku sejak minggu lalu memaksa penduduknya berteduh di kawasan lain sementara susulan kediaman mereka musnah dibawa arus air.
Selain berdepan dengan kehilangan harta benda, ramai mangsa turut mengalami trauma apabila ada yang hilang ahli keluarga dalam kejadian itu.
Terbaharu, tular sebuah video di platform Threads memaparkan momen seorang bapa yang dikatakan menempuh perjalanan sukar selama empat hari empat malam menembusi hutan demi mencari anak dan isterinya.
BACA LAGI: 'Selamat datang ke dunia', Chryseis Tan kini ibu anak tiga, selamat lahir cahaya mata lelaki
Video berdurasi tidak lebih dua minit itu menunjukkan suasana malam gelap dengan beberapa individu yang dipercayai melibatkan beberapa keluarga berteduh di bawah khemah di tepi jalan, beralaskan tikar.
Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki beberapa lelaki dilihat tiba di kawasan teduhan tersebut.
Di antara mereka ialah bapa terlibat.
Difahamkan, lelaki yang memandu kenderaan tersebut menemui bapa berkenaan ketika sedang menempuh perjalanan dan menumpangkannya.
Sebaik tiba di lokasi teduhan, detik paling menyentuh ialah apabila anak lelakinya yang berusia lingkungan empat tahun menangis teresak-esak ketika melihat sosok bapanya sambil menyebut 'ayah' berulang kali.
Kanak-kanak itu segera memeluk ayahnya sebelum digendong, sekali gus mencetuskan kesedihan dalam kalangan warga maya yang menontonnya.
Untuk info, banjir dan tanah runtuh yang melanda di Aceh sejak pertengahan November itu memusnahkan beberapa daerah di kawasannya.
Ribuan penduduknya dilaporkan terjejas sehingga ada yang meragut nyawa, manakala ada juga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
