[VIDEO] Guru disiplin akui siasatan dalaman kes Zara Qairina hanya rekod sekolah, tidak dilapor kepada polis


  • Massa
  • Khamis, 27 Nov 2025

Seorang guru disiplin SMKA Tun Datu Mustapha mengakui bahawa siasatan dalaman kes Zara Qairina tidak diserah kepada polis.

SEORANG guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mengakui bahawa pihak sekolah telah menjalankan lima siasatan dalaman berhubung insiden membabitkan Zara Qairina Mahathir namun laporan tersebut tidak pernah diserahkan kepada polis.

Penolong Ketua Guru Disiplin, Nurul Syahadah Ibrahim, 38, berkata, laporan itu tidak dirujuk kepada pihak berkuasa kerana dianggap sebagai rekod dalaman sekolah, selain pihak sekolah yakin terhadap kredibiliti dan kepakaran polis dalam menjalankan siasatan rasmi.

Menurutnya, siasatan dalaman berkenaan dijalankan pada 16 dan 17 Julai serta 4, 5 dan 13 Ogos, melibatkan beberapa pelajar termasuk lima individu yang didakwa sebagai saksi terakhir melihat Zara Qairina sebelum insiden berlaku.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan kemalangan, rakaman lelaki dirempuh jet ski di Sungai Melaka hanya penggambaran filem

BACA LAGI: Tiada 'fear factor', polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar

Siasatan itu dijalankan melalui sesi soal jawab serta pengumpulan pernyataan bertulis daripada saksi.

Saksi ke-54 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari, pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Nurul Syahadah turut mengakui bahawa kelima-lima hasil siasatan itu tidak pernah dilaporkan kepada pengetua sekolah, sebaliknya hanya dimaklumkan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM).

“Kami menyerahkan perkara itu kepada PK HEM untuk dimaklumkan kepada pengetua. Ketika itu, pengetua sibuk menyantuni pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri berhubung kes Zara Qairina,” katanya.

Ketika disoal pegum Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina, saksi berkata, rekod hasil siasatan itu tidak didedahkan kepada ibu Zara Qairina bagi mengelakkan sebarang spekulasi mengenai kes itu.

“Kami tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi, saya tidak ada apa-apa niat, saya juga seorang ibu.

"Saya tidak setuju dengan pendapat bahawa kami sengaja tidak mendedahkan perkara itu kepada ibu Zara Qairina,” katanya.

Mengimbau kenangannya bersama Zara Qairina, Nurul Syahadah berkata, dia tidak mengajar sebarang subjek kepada pelajar itu, namun pernah menerima sebuah bekas pensel sebagai hadiah sempena sambutan Hari Guru pada 20 Mei lepas.

“Saya jarang berinteraksi dengan Allahyarhamah, jadi saya tidak menyangka arwah akan memberikan hadiah itu. Unit disiplin sekolah juga tidak pernah mengambil apa-apa tindakan terhadap arwah. Zara Qairina juga mempunyai hasrat untuk menjadi ahli Badan Dakwah dan Rohani (Badar).

“Perkara itu dimaklumkan seorang pelajar kepada saya pada 17 Julai, iaitu selepas Allahyarhamah sudah ‘tiada’.

“Seingat saya, seminggu sebelum insiden itu, Zara Qairina ada merancang untuk berjumpa saya untuk menyertai Badar. Itu satu kenangan manis, kerana belum pernah ada pelajar yang menyatakan hasrat untuk menjadi ahli Badar,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi 16 Julai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram