Tiada 'fear factor', polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar


  • Kes
  • Khamis, 27 Nov 2025

Hukuman rotan di sekolah wajar dikembalikan dengan berperingkat dan prosedur keselamatan bagi menangani kes jenayah sosial dalam kalangan pelajar.

HUKUMAN rotan di sekolah wajar dikembalikan dengan berperingkat dan prosedur keselamatan bagi menangani kes jenayah sosial dalam kalangan pelajar, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Menurutnya, hukuman rotan ada pelbagai kategori seperti bersifat minimum dan kuantiti iaitu jumlah berapa kali yang wajar dikenakan.

"Perkara ini wajar difikirkan semula untuk dikembalikan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Semoga lulus SPM, dik', ada terkenang kisah banjir di Pantai Timur, siap cadang buat bulan 10

BACA LAGI: Mangsa banjir berdaftar di PPS dapat RM1,000 setiap keluarga, masuk terus akaun BSN — NADMA

"Hari ini, tiada 'fear factor' di sekolah disebabkan beberapa peraturan serta tindakan penguatkuasaan disiplin telah dikurangkan atau dimansuhkan yang sepatutnya ada pada guru-guru untuk menguatkuasakan disiplin dan pentadbiran sekolah," katanya kepada pemberita selepas Program 'Immediate Reform Kempen Antibuli; Dari Rumah Ke Sekolah, Ibu Bapa Asas Benteng Pencegahan' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Mengulas mengenai kewajaran kembalikan tindakan rotan, Shazeli berkata, ia bergantung kepada situasi dan jenis kesalahan.

Jelasnya, manusia sememangnya belajar daripada pengalaman serta rasa yang dilalui dan itu lebih sesuai daripada bercakap dan berkomunikasi tanpa merasainya sendiri.

"Pada peringkat ini saya berpendapat rotan wajar dikembalikan dengan berperingkat dan terkawal bagi elak salah guna kuasa dalam kalangan guru-guru," ujarnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar (tiga,kanan).

Tambah Shazeli, statistik kes di Selangor tahun lalu dalam tempoh 10 bulan setakat Oktober, sebanyak 108 tangkapan pelajar dilaksanakan, manakala tempoh sama tahun ini merekodkan peningkatan iaitu sebanyak 122 tangkapan.

"Ini melibatkan kes yang berlaku di sekolah rendah dan menengah dan trend ini meningkat melibatkan pelbagai kes jenayah sosial seperti buli, pemerasan, mencederakan dan bergaduh.

"Kes yang agak 'hardcore' pula sehingga mencederakan dan paling kami bimbang ialah pergaduhan dan merusuh yang kebiasaan ada elemen dari luar khususnya gangsterisme," ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau, isu sosial melibatkan pelajar sekolah di Selangor ini masih berada di tahap yang harus diwaspadai.

"Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak polis dalam isu ini," ujarnya.

Bercakap mengenai pelaksanaan kempen anti buli ini, Shazeli menjelaskan, ia merupakan inisiatif yang digerakkan Polis Selangor bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sebagai respons pendekatan kes buli dan salah laku jenayah di sekolah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu buli dan jenayah dalam kalangan remaja sebagai satu bentuk jenayah sosial yang boleh menjejaskan masa depan anak kita.

"Program ini juga membawa pendekatan menyeluruh yang menekankan bahawa pencegahan mesti bermula dari rumah dan peranan ibu bapa adalah kritikal sebagai benteng awal dalam membentuk akhlak, emosi dan tingkah laku anak-anak," ujarnya.

Program itu menghimpunkan 700 peserta dalam kalangan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta polis. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram