LEBIH 2,200 peserta dan peminat sukan berbasikal dari seluruh negara berkumpul untuk memeriahkan Heritage Ride Taiping 2025 yang meraikan golongan belia, gaya hidup sihat dan semangat komuniti.
Acara yang berlangsung pada Ahad lalu itu dimulakan di Dataran Warisan Taiping bagi menyerlahkan keindahan bandar bersejarah berkenaan sebagai antara destinasi berbasikal tercantik dalam negara.
Peserta menelusuri laluan sekitar Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting merangkumi jarak 90 kilometer (km), 60 km serta Kayuhan Santai 20 km yang menawarkan pengalaman berbasikal menyeluruh.
BACA LAGI: Taiping, Sibu, Kuching dan Petaling Jaya antara 7 bandar mesra warga emas diiktiraf WHO
BACA LAGI: [VIDEO] Dua beradik di Taiping gigih bantu ibu, promosi gerai nasi lemak ala-ala 'influencer'
Selain dapat mengejar kedudukan podium, peserta daripada pelbagai peringkat usia turut ditawarkan peluang menikmati pemandangan dan keindahan alam.
Heritage Ride Taiping merupakan anjuran bersama Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd dengan sokongan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
Kayuhan itu kini berkembang melebihi sekadar acara sukan kerana turut menjadi platform yang menyemai gaya hidup sihat serta hubungan komuniti.
“Tahun lalu, penganjuran sulungnya adalah sempena ulang tahun ke-150 Taiping. Tahun ini, kita teruskan semangat itu, menjadikan warisan sebagai momentum.
"Heritage Ride menyatukan masyarakat melalui sukan, sejarah dan kesihatan. Ia tentang meraikan asal-usul kita dan mengangkat generasi baharu untuk membina komuniti yang lebih sihat dan lebih kuat pada masa depan," kata Kah Woh.

Kah Woh berpandangan acara itu adalah untuk meraikan bandar Taiping yang penuh bersejarah.
Penganjuran tahun ini turut dimeriahkan dengan penyertaan Kademy Sdn Bhd sebagai penaja utama baharu dengan syarikat tersebut merupakan platform pembelajaran dalam talian yang menyokong pembangunan belia dan gaya hidup sihat.
Malah, kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyaksikan acara tersebut menawarkan 250 penyertaan percuma kepada pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun sebagai inisiatif menggalakkan generasi muda menjadikan sukan berbasikal sebagai aktiviti dan gaya hidup.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) turut meneruskan sokongan menerusi perkhidmatan tren terus khas ke Taiping untuk peserta bersama basikal mereka tanpa henti di mana-mana stesen.
Perkhidmatan itu mendapat sambutan luar biasa sehingga habis ditempah yang memberi peluang kepada peserta tiba lebih awal untuk meneroka Taiping dan membuat persediaan sebelum hari kayuhan.
Selain kayuhan, Dataran Warisan turut dimeriahkan dengan trak makanan, cabutan bertuah dan aktiviti penaja, menjadikan kawasan itu ruang riang untuk keluarga, rakan-rakan dan peminat berbasikal berkumpul.

Majlis penyampaian hadiah turut diadakan selepas acara berbasikal tamat.
Semua pemenang menerima pingat serta hadiah wang tunai sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.
Heritage Ride Taiping 2025 direalisasikan menerusi sokongan padu penaja termasuk Alliance Bank, QIU University, Farm Fresh, Perak Transit, Allianz Insurance dan MB Inc.
Rakan kerajaan seperti Majlis Perbandaran Taiping, Visit Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama turut memastikan kelancaran dan keselamatan penganjuran.
Edisi tahun ini sekali lagi mengukuhkan reputasi Taiping sebagai destinasi yang mana warisan bertemu gaya hidup sihat dan tempat generasi muda digalakkan untuk membesar, belajar dan berkembang melalui dua roda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
