Taiping, Sibu, Kuching dan Petaling Jaya antara 7 bandar mesra warga emas diiktiraf WHO


  • Massa
  • Khamis, 27 Nov 2025

Kuching antara tujuh bandar diiktiraf WHO sebagai bandar mesra warga emas. — Gambar Hiasan

TUJUH bandar dan daerah di Malaysia kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada rangkaian Age Friendly Cities and Communities (AFCC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bandar berkenaan ialah Taiping, Ipoh, (Perak) Pulau Pinang, Sibu, Kuching, (Sarawak) Petaling Jaya (Selangor) dan Kuala Lumpur.

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyediakan ruang awam serta perkhidmatan yang lebih mesra dan mudah diakses golongan warga emas.

BACA LAGI : Dulu pernah pinjam RM10 demi keluar duit di bank, kini Chef Kecik miliki 3 kafe, gudang dijaga lebih 105 staf

BACA LAGI : 'Masih trauma banjir yang dulu', penduduk Sri Muda kesal gambar banjir dihasilkan AI jadi bahan gurauan, cetus panik

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Siti Mastura Muhamad (PN–Kepala Batas), beliau memaklumkan kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan pengendali pengangkutan awam bagi meningkatkan infrastruktur mesra usia serta memperluas penggunaan reka bentuk sejagat di kawasan awam dan kemudahan pengangkutan.

Usaha itu dilaksanakan berlandaskan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026–2030 yang bertujuan memastikan warga emas dapat hidup dengan selamat, selesa dan berdikari dalam persekitaran mesra usia.

Ipoh, Perak kini diiktiraf WHO sebagai bandar mesra warga emas. — Facebook I Love Perak

Antara strategi utama termasuk memperluas projek bandar dan daerah mesra warga emas serta menaik taraf kemudahan pembelajaran sepanjang hayat di institusi pengajian tinggi bagi menyokong keperluan pembelajaran golongan berusia.

Nancy berkata, perkembangan tersebut dipantau Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara yang dipengerusikannya.

Beliau menambah, Jawatankuasa Kecil Perumahan dan Persekitaran di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menjalankan audit akses serta pemeriksaan susulan di kawasan pihak berkuasa tempatan bagi menilai tahap kepatuhan kemudahan kepada keperluan warga emas dan orang kurang upaya berdasarkan piawaian reka bentuk sejagat.

"Segala usaha ini bertujuan memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan dalam persekitaran yang selamat, menyokong dan benar-benar mesra usia," katanya sambil menegaskan kerjasama melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan pemain industri amat diperlukan. — The Star/ KHOO GEK SAN dan ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram