KASIH bertakhta datuk kepada cucunda terserlah apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meluangkan masa beriadah bersama keluarga di Gelanggang The Palm Pickleball and Padel Club, Kuantan, Pahang pada Rabu.
Menerusi beberapa hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, Paduka Baginda dilihat bermain pickleball sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia lewat kebelakangan ini.
Pickleball yang berasal dari Bainbridge Island, Washington pada 1965 kini semakin popular. Ia menggabungkan elemen badminton, tenis dan ping pong menjadikan sukan itu lebih santai, menyeronokkan dan sesuai dimainkan seisi keluarga.
BACA LAGI: Disangka sudah meninggal, wanita terlantar 2 tahun kejutkan semua apabila ‘bangun’ di dalam keranda
Aktiviti riadah itu turut disertai Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Datuk Indera Mohamed Moiz dan paduka-paduka cucunda.
Menurut kenyataan tersebut, Sultan Pahang memilih pickleball sebagai aktiviti riadah berikutan aktiviti luar seperti berbasikal, polo dan golf agak terhad ketika Monsun Timur Laut melanda beberapa negeri termasuk Pahang.
Satu lagi hantaran memaparkan video suasana riadah tersebut, memperlihatkan keriangan Paduka Baginda dan cucunda ketika sesi permainan berlangsung.
Pihak Kesultanan Pahang menekankan bahawa Sultan Pahang sentiasa menghargai kesempatan untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, walau dalam kesibukan tugasan rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
