CALON peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular di Kuala Lipis, Pahang kerana berenang semasa hendak ke pusat peperiksaan dilaporkan sudah selamat dan ditempatkan di asrama.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalam kenyataan pada Selasa berkata, calon yang meredah air banjir itu terpaksa berbuat demikian selepas laluan keluar dari rumahnya ke pusat peperiksaan dinaiki air pada 29 November.
Calon itu kini ditempatkan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lanar untuk sementara waktu.
"Murid itu sekarang ditempatkan di asrama SMK Kuala Lanar dan berada dalam keadaan selamat serta bersedia menduduki peperiksaan bersama-sama calon lain," kata JPN Pahang.
Rentetan daripada situasi itu, JPN Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) daerah Lipis bekerjasama mewujudkan pelan bagi membantu calon SPM terjejas kerana banjir.
Sekolah-sekolah berasrama di Lipis akan memberikan kemudahan asrama kepada semua pelajar sehingga situasi menjadi lebih baik.
"Langkah ini diambil dengan tujuan memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang kesulitan.
"Pihak PPD dan sekolah sentiasa memantau serta memastikan keperluan dan keselamatan calon untuk menduduki peperiksaan dengan sejahtera menjadi keutamaan pada musim tengkujuh ini.
"JPN Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan serta semua pihak yang memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan dengan lancar demi kepentingan calon," ujar JPN Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
