[VIDEO] Calon SPM terima khabar pemergian insan tersayang sebaik keluar dewan peperiksaan, kebumi jenazah bapa ketika masih berbaju sekolah


  • Bonda
  • Rabu, 26 Nov 2025

Tangkap layar memaparkan detik Ahmad Khairuddin menerima khabar duka bapanya meninggal dunia dan saat kebumi jenazah. — TikTok/@tvpsssmkasaf

DEBARAN menanti peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sudah cukup menegangkan bagi setiap pelajar, namun bagi seorang calon Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim di Nibong Tebal, Pulau Pinang, dugaan bertambah berat apabila dia menerima berita pemergian bapanya.

Lebih memilukan, berita duka itu diterima pada hari pertama SPM.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok rasmi sekolah berkenaan pada Selasa, kelihatan Ahmad Khairuddin disambut oleh ahli keluarganya sebaik keluar dari dewan peperiksaan bagi memaklumkan berita duka tersebut.

BACA LAGI: Impi resepsi 'vibe' kampung? Ini 5 lokasi perkahwinan ala desa, penuh nostalgia

BACA LAGI: 'Tak lambat, tak cepat, perfect', Noh Salleh sambut kelahiran cahaya mata sulung nama Tara Svara

Wajahnya jelas menunjukkan kesedihan, seolah-olah sudah dapat meneka berita yang ingin disampaikan oleh ahli keluarganya itu.

"Keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan, namun yang menantinya ialah berita paling pilu.

"Pergi seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan," kata sekolah terlibat di ruangan kapsyen .

Pihak sekolah juga menzahirkan salam takziah sambil mendoakan agar Allahyarham bapanya, Ustaz Md Nor Jusoh ditempatkan dalam kalangan orang soleh.

Video itu turut memaparkan pelajar tersebut menunaikan solat jenazah bapanya, malah dia sendiri mengimamkan solat tersebut dan setia mengiringi arwah sehingga ke liang lahad.

Usai pengebumian, Ahmad Khairuddin dipeluk oleh guru-guru lelaki sekolahnya yang memberikan kata-kata semangat kepadanya.

Sementara itu di ruangan komen, ramai warga maya terkesan dengan hantaran itu dan menitipkan doa semoga Ahmad Khairuddin tabah menghadapi dugaan tersebut.

"Dia kebumi arwah ayah dia dengan baju sekolah lagi. Ya ALLAH, Engkau gantikan berita sedih ini dengan kejayaan yang cemerlang di masa depannya," tulis @_hanimasyikin.

"Baru hari pertama SPM dah bawa masuk ayah dalam liang lahad pakai uniform sekolah. Pejuang yang sebenar. Semoga terus kuat," ujar @aaaaasyhzra.

"Ahmad Khairuddin seorang yang cekal dan kuat, semoga kejayaan menanti mu anak muda," komen @firdauss.amran.

Apa yang lebih mengagumkan, pihak sekolah juga memaklumkan bahawa selepas pengebumian bapanya, pelajar itu kembali ke bilik peperiksaan untuk meneruskan perjuangan.

"Jiwa yang begitu kental. Selepas pengebumian, dia kembali ke bilik peperiksaan untuk meneruskan perjuangan," tulis pihak sekolah di ruangan komen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram